Sokongan Masyarakat KDM Terhadap Warisan Meningkat – Peter

1476

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Penerangan dan ceramah berterusan yang dilakukan Parti Warisan Sabah (Warisan) dilihat berjaya meningkatkan sokongan rakyat Kimanis terhadap calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony berkata, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, rata-rata masyarakat Kimanis menerima baik calon Warisan.

“Penerangan yang diberi di semua tempat membolehkan sokongan terhadap calon kita dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditanya mengenai sokongan terhadap Warisan setakat hari ke-10 kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berlangsung.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gadong, di sini hari ini.

Kemudian ditanya mengenai semakin ramai ahli UMNO yang keluar dari parti itu untuk menyertai Warisan, Peter berkata, situasi itu berlaku berikutan keyakinan mereka terhadap Warisan.

Beliau, yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia berkata, jika dilihat masyarakat Kimanis keliru kerana beranggapan PRK Kimanis itu adalah untuk mengubah kerajaan.

Namun, apabila penerangan diberikan bahawa PRK Kimanis itu adalah untuk memilih calon di parlimen dan bukannya untuk mengubah kerajaan, ramai antara mereka (UMNO) mula beralih untuk menyokong parti kerajaan iaitu Warisan.

“Saya percaya apabila penerangan mula diberi, masyarakat mula berfikir adalah lebih baik menyokong kerajaan daripada menyokong pembangkang.

“Disebabkan apa yang rakyat mahukan, terutama masyarakat kampung adalah pembangunan.

“Mereka mahukan kemajuan dan kedudukan anak-anak mereka terjamin…ada persekolahan yang baik serta kebajikan mereka teratur, itu yang penting kepada mereka,” jelasnya.

Mengenai sokongan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Kimanis, Peter berkata, beliau yakin masyarakat KDM akan berpihak kepada calon Warisan.

Katanya, rata-rata rakyat yang ditemui memberi sokongan penuh kepada Warisan dan calon Warisan.

“Kita percaya dalam masa dua hingga tiga hari ini, sokongan terhadap Warisan akan bertambah,” ujarnya.