Sokongan Kaum Cina Terhadap Warisan Semakin Kuat

SARIFUDDIN

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Biarpun pelbagai tomahan dilemparkan ‘cybertrooper’ di media sosial, Parti Warisan Sabah (Warisan) terus mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina, di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hatta berkata, ia terbukti apabila pihaknya menerima banyak permintaan daripada kaum berkenaan untuk menubuhkan cawangan Warisan di kawasan masing-masing.

“Dalam tempoh hampir tiga tahun menerajui pentadbiran negeri, sokongan masyarakat Cina, di sini, terhadap Warisan tidak pernah berubah, malah semakin kuat.

“Mereka adalah penyokong Warisan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menjadi antara penyumbang kemenangan parti di Parlimen Kalabakan,” katanya kepada media, selepas merasmikan Mesyuarat Warisan Masyarakat Cina Cawangan Muhibbah, Gudang Empat, Ulu Gudang Gombak dan Sin San, di sini, hari ini.

Menurut Sarifuddin, ramai pihak yang menghubunginya untuk membuka cawangan namun, usaha itu terbantut ekoran Covid-19.

Ketika diminta mengulas keadaan politik Sabah ketika ini, Sarifuddin berkata, negeri berdepan masalah sehingga memaksa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), disebabkan terdapatnya usaha rampasan kuasa oleh parti lawan.

“Mereka mendakwa boleh menjadi kerajaan dengan kelebihan satu kerusi.

“Namun, kerusi itu adalah lantikan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal),” katanya.

Justeru, menurut Sarifuddin, Ketua Menteri mempunyai hak untuk membuat usul pembubaran DUN dan mengembalikan hak memilih kepada rakyat, bukannya di tangan ‘katak’.

Tambahnya, semua jentera parti sudah dihubungi dan akan menghadiri Mesyuasat Majlis Tertinggi parti di Kota Kinabalu, esok.