Sokongan Anggota Rela Kepada Kerajaan Dihargai

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PAPAR: Sokongan daripada setiap anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela Malaysia) penting dalam melaksanakan aspirasi kerajaan untuk membangunkan negara demi manfaat generasi akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan jumlah keanggotaan Rela Malaysia seramai 296,490 orang, sokongan mereka terhadap kerajaan penting untuk meneruskan kestabilan negara dalam semua aspek berdasarkan setiap perancangan yang ditetapkan.

Pada masa sama katanya, Rela Malaysia perlu meningkatkan kemahiran mereka agar peranan tersebut dapat diperluaskan termasuk dalam melaksanakan program kemasyarakatan.

“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat pasukan Rela Malaysia terus berkembang peranannya selari dengan peredaran zaman dan teknologi agar sentiasa relevan mengikut kehendak masyarakat, dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan, Rela perlulah meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam membuat perancangan serta melaksanakan program-program kemasyarakatan sekali gus menarik lebih ramai penyertaan untuk menjadi sukarelawan Rela Malaysia.

“Sesungguhnya sokongan yang padu daripada anda semua amatlah diharapkan bagi merealisasikan aspirasi-aspirasi kerajaan yang telah dirancang untuk masa akan datang demi kebaikan negara serta masa depan generasi akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kenduri Rakyat Rela di Dewan Papar hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan peranan Rela Malaysia dalam membantu masyarakat, justeru bermula tahun ini, elaun setiap pegawai Rela telah dinaikkan daripada RM7.80 sejam kepada RM9.80 sejam dan bagi anggota daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam.

Katanya, kenaikkan elaun itu adalah tanda usaha mereka dihargai dan sebagai penghargaan kepada tugas mereka membantu agensi keselamatan lain memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Slogan Rela Malaysia “Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat”, adalah bertepatan dengan peranan dan fungsi Rela Malaysia, kewujudan pasukan ini adalah untuk memberi ruang kepada rakyat Malaysia bagi bersama-sama menyumbang bakti kepada negara dan masyarakat.

“Penyertaan anda semua sebagai anggota Rela Malaysia adalah amat penting demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara khususnya di daerah tuan-tuan dan puan-puan ini,” tambahnya.