Sokong Usaha Kembalikan Status Sabah, Sarawak – Shafie Apdal

1627

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal meminta agar semua pihak menyokong usaha kerajaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai sebuah wilayah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pertemuan mengenai MA63 baru-baru ini.

“Pada pertemuan itu kita telah bangkitkan perkara mengenai status kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina 2019 Parti Warisan Sabah (Warisan) Tanjung Aru, di sini Ahad.

“Saya yakin Kerajaan Persekutuan meluluskan perkara ini kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan dan tidak memerlukan sebarang undian.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong bahawa kerajaan akan mengemukaann satu usul di Parlimen bulan hadapan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai satu wilayah.

Shafie berkata banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam MA63, namun ia mengambil masa.

“Kita telah menunggu perkara ini selama 60 tahun dan kini Perdana Menteri sudah memberikan ruang kepada kita untuk berbincang dan membantu kita… oleh itu kita tidak perlu tergesa-gesa dan apa yang penting usaha kita perlu disokong oleh semua pihak,” katanya.

Pada 16 September 2018 semasa sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Dr Mahathir membuat pengumuman bahawa status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung Malaysia akan dipulihkan.