Sokong Langkah Berani Kerajaan Demi Nasib Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan

1708
PHOONG JIN JZE @ GINGER

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pihak yang mengkritik langkah kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kerakyatan kanak-kanak tanpa negara yang banyak di Sabah diminta memikirkan tentang nasib golongan tersebut jika tiada sebarang bantuan diberikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Ginger Phoong berkata, walaupun keputusan tidak popular terpaksa diambil oleh kerajaan, namun sudah tiba masanya langkah berani itu dilakukan kerana jika tidak masalah tersebut tidak akan hilang sendiri sampai bila sekali pun.

“Jangan hukum kanak-kanak ini kerana dosa ibu bapa mereka. Jika salah seorang ibu bapa adalah Sabahan, terutama sekali ibunya maka kanak-kanak itu orang Sabah, tiada cara lain.

“Jika disebabkan daftar lewat, tidak bolehkah kerajaan membantu? Bukannya sebab mereka tidak layak, mereka telah dilahirkan di Sabah juga.

“Jika kedua ibu bapa bukan warganegara, sudah tentu mereka akan dihantar pulang jika ditangkap tetapi kanak-kanak itu akan ditinggalkan. Apa perlu dilakukan kepada mereka, bolehkah pembangkang berikan cadangan selain hanya mengkritik keputusan kerajaan untuk kepentingan politik?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jika tidak diselesaikan, isu itu tetap akan dihadapi oleh generasi sererusnya dan boleh membawa masalah sosial yang serius seterusnya meningkatkan lagi kos kepada kerajaan negeri untuk menanganinya.

Menurut beliau, buat masa ini, kanak-kanak berkenaan akan hidup dalam ketidaktentuan kerana tudak mendapat akses kepada pendidikan atau peluang terlibat dengan masyarakat.

“Kami menyokong penuh apa yang dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Kegagalan untuk melakukan sesuatu boleh menyebabkan kesan buruk yang lebih besar pada masa depan.

“Di mana kita akan hantar mereka kalau tiada dokumen langsung? Mereka sepatutnya mendapat pendidikan seperti selayaknya diterima setiap kanak-kanak di seluruh dunia, justeru walaupun keputusan kerajaan tidak popular tetap perlu dilakukan,” jelas beliau.

Isu menangani masalah kerakyatan golongan berkenaan telah pun dibangkitkan Ginger sebelum di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, dengan pendidikan dan latihan khusus, golongan berkenaan mampu menjadi modal insan negeri jika diuruskan dengan sebaik mungkin.

BERITA BERKAITAN: –

Nilai Perikemanusiaan Asas Kepada Program Pemutihan Di Sabah