SMK Majakir Cipta Sejarah Menang Semua Kategori Kejohanan Merentas Desa MSSD Papar

PAPAR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir melakar sejarah tersendiri apabila memenangi semua kategori untuk muncul johan keseluruhan dalam Kejohanan Merentas Desa, Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) peringkat daerah Papar.

Kejohanan yang berlangsung padda 15 Jun lalu itu disertai 13 buah sekolah di daerah ini.

Ketua Jurulatih SMK Majakir, Jenerian Marcus berkata, menjadi tuan rumah kejohanan itu mendorong semua atlet sekolah itu untuk meraih kejuaraan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana sekolah ini menyapu bersih semua kategori yang dipertandingkan.

“Kejayaan ini juga membolehkan SMK Majakir mencipta rekod sebagai sekolah pertama yang memenangi keempat-empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kategori-kategori yang dimenangi adalah Perempuan A, Perempuan B, Lelaki A dan Lelaki B serta johan keseluruhan.

Kejohanan merentas desa sejauh enam kilometer pada kali ini melibatkan 24 atlet mewakili SMK Majakir.

Jenerian berkata, sekolah itu akan terus berusaha untuk muncul sebagai gergasi sukan olahraga di daerah Papar.

Beliau berkata, mereka juga menyasarkan untuk menjadi johan dalam Kejohanan Olahraga MSSD Papar pada tahun ini.