SMJ Petroleum, Syarikat Minyak & Gas Pertama Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencatatkan kejayaan bersejarah apabila Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri itu iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd adalah keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan Negeri Sabah dan syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini.

“CCA ini adalah dokumen yang paling penting antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan PETRONAS.

“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” katanya selepas majlis menandatangani CCA bersama Petronas di Menara Kinabalu, hari ini.

Katanya, SMJ Petroleum akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan demi kepentingan Sabah.

“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya.

Menurutnya, syarikat atau kontraktor daripada Sabah boleh menyertai program pembangunan vendor menerusi CCA. Malah, Petronas turut memberi jaminan untuk memberi lebih banyak kontrak kepada rakyat Sabah dalam proses tender.

Apa yang penting, Petronas juga komited untuk membayar tunai royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian hasil yang lebih besar.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa CCA akan memelihara hak perundangan negeri dengan menyediakan perlindungan menyeluruh demi kepentingan negeri,” katanya.

Jelasnya, CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif bagi industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir dan darat.

“Bersama Petronas, Sabah akan membangunkan industri minyak dan gas dengan memastikan situasi menang-menang untuk negeri ini serta mewujudkan imej baharu bagi industri berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, Sabah boleh menjadi antara pemain industri minyak dan gas yang kukuh menerusi syarikat SMJ Petroleum yang akan mendapat bimbingan daripada Petronas.

CCA adalah dokumen yang paling bagi Sabah dan Petronas sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan Petronas.

Tambah Hajiji, satu Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk membincangkan penglibatan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas.

Sebelum penubuhan Jawatankuasa Bersama, beliau berkata kerajaan negeri dan PETRONAS telah pun mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula 8 Oktober, dan dua bulan kemudian selepas beberapa mesyuarat diadakan, CCA dimuktamadkan.

Hajiji turut mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa di bawah kerjasama berkenaan iaitu Dialog Strategik Tahunan (ASD), Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC) serta jawatankuasa-jawatankuasa kecil dalam bidang minyak dan gas yang akan dianggotai oleh kerajaan negeri dan Petronas.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Presiden, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Ends.