Skuad Ragbi Wanita Labuan Juarai Kejohanan Hornbill 7s

396

LABUAN: Pasukan ragbi wanita Labuan beraksi cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Ragbi Hornbill Tujuh Sebelah (7s) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau di Miri, Sarawak, semalam.

Pada pusingan awal, skuad bawah 18 tahun Labuan itu menewaskan SMK Sedaya 25-0 dengan mencatat lima ‘try’, sebelum mengatasi SMK Riam setelah melakukan tiga ‘conversion’ dengan kemenangan 26-0.

Dalam saingan separuh akhir, pasukan Labuan terus menampilkan aksi terbaik untuk menumpaskan SMK Pujut 34-0 selepas melakukan enam ‘try’ dan dua ‘conversion’

“Pasukan kami berdepan cabaran sengit menentang Miri Letto pada aksi final semalam, namun kita berjaya mengatasi mereka 7-5,” kata Presiden Persatuan Ragbi Labuan Rashid Adli.

Kejohanan dua bermula bermula Sabtu itu dianjurkan Persatuan Ragbi Miri.

Sementara itu, pengurus pasukan Labuan, Norsuziana Amnor berkata kejayaan muncul juara kejohanan itu adalah pertama bagi pasukan berkenaan tahun ini, selepas menduduki tempat kedua pada kejohanan di Kota Kinabalu dan Ranau, tahun lepas.

Ketua pasukan, Noor Hidayati Rahamin pula berkata pencapaian di Miri itu sangat bermakna kerana berjaya mengetepikan cabaran pasukan dari Sarawak yang sering menjadi pasukan pilihan pada kejohanan ragbi tempatan.