SKN – Penjawat Awam Perlu Fokus Berkhidmat Untuk Rakyat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong mengingatkan penjawat awam negeri supaya terus fokus dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sebalik kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata, penjawat awam perlu fokus menjayakan agenda kerajaan dan tidak hilang tumpuan daripada fokus asal iaitu berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan negeri.

“Selaku penjawat awam, kita perlu berkhidmat kepada kerajaan. Penjawat awam seperti mana mesej saya tadi, kita harus utamakan kecemerlangan.

“Bermula dengan amanat saya hari ini, mereka (penjawat awam) akan mengutamakan kecemerlangan. Untuk cemerlang, mereka kena berdedikasi dan bekerja keras serta sentiasa kreatif dan berinovasi.

“Ia bagi membolehkan penjawat awam cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat jelata serta perkhidmatan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai nasihat kepada penjawat awam untuk mengelak kekeliruan akibat dakwaan berlakunya perubahan dalam kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Safar turut menasihatkan penjawat awam supaya bekerja dengan gigih tanpa hilang tumpuan daripada memberi khidmat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Semalam, Parti Warisan Sabah (Warisan) iaitu parti yang menerajui kerajaan Sabah menepis dakwaan berlakunya perubahan kerajaan di peringkat negeri.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S.Padua berkata, dakwaan sebegitu tidak benar dan itu adalah mainan pembangkang bagi mengurangkna keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri Sabah.