Skandal JANS: SPRM Perlu Turut Siasat Kementerian Persekutuan – Raime

Gambar hiasan sahaja.
Gambar hiasan sahaja.
Raime Unggi
Raime Unggi

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi hari Sabtu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada pegawai tertinggi kementerian persekutuan turut terlibat dalam kes salahgunakan kuasa membabitkan dua pegawai tertinggi sebuah jabatan kerajaan negeri melibatkan projek-projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion (di Sabah).

Katanya, siasatan menyeluruh perlu dibuat memandangkan pihak yang meluluskan tender-tender projek infrastruktur itu adalah pihak kementerian persekutuan.

Berdasarkan kenyataan SPRM, kedua pegawai tertinggi jabatan negeri mengendalikan projek pembinaan infrastruktur sejak tahun 2010 dan disyaki terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan memonopoli projek berkenaan.

“Kes salahguna kuasa ini berlaku pada tahun 2010 dan adalah wajar pihak SPRM turut menyiasat menteri dan juga pegawai tertinggi kementerian persekutuan terbabit kerana ia adalah berkaitan.

“Jika kedua pegawai kanan jabatan kerajaan negeri ini mampu memonopoli projek-projek yang ditender itu dengan mengumpul kekayaan luar biasa hingga ratusan juta ringgit, maka adalah mustahil kementerian berkenaan tidak sedar apa yang berlaku.

“Saya tidak menuduh sesiapa, tetapi adalah logik bagi projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kementerian persekutuan itu, sudah pasti kelulusannya turut melibatkan menteri dan pegawai tertinggi kementerian berkaitan.

“Maka SPRM wajar turut menyiasat kemungkinan penglibatan 2 pegawai tertinggi agensi negeri itu dengan pihak atas di kementerian itu”, katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Wang kertas dan barang-barang kemas yang berharga yang dirampas oleh SPRM dari rumah kedua-dua pegawai Jabatan Air Sabah.
Wang kertas dan barang-barang kemas yang berharga yang dirampas oleh SPRM dari rumah kedua-dua pegawai Jabatan Air Sabah.

Raime yang memuji kejayaan SPRM berkata, sudah menjadi praktikal kementerian persekutuan bahawa sebarang projek yang dikendalikan tidak melibatkan kerajaan negeri kerana semua perlantikan kontraktor dilaksanakan sendiri oleh kementerian tersebut.

Katanya, Jabatan Kerajaan Negeri biasanya memanggil 10 kontraktor bagi setiap projek yang dilaksanakan, dan mengemukakan nama-nama kontraktor tersebut kepada kementerian dan kelulusan.

“Pada satu masa, Menteri di sebuah kementerian mempunyai kuasa meluluskan sehingga RM100 juta kos projek di bawah kendalian kementerian itu.

“Justeru, tidak mungkin menteri berkenaan tidak tahu permainan tender terhad atau sendiwara di belakang tadbir terhadap syarikat-syarikat yang ikut tender terhad yang diproses oleh jabatan kerajaan negeri itu,” tambahnya.

Raime berkata, rakyat Sabah amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian persekutuan yang telah banyak melulus dan melaksanakan projek kemudahan infrastruktur bernilai jutaan ringgit untuk kawasan luar bandar Sabah.

Namun katanya, banyak antara projek-projek infrastruktur itu gagal menepati sasaran dan tidak memberi manfaat kepada rakyat luar bandar negeri ini yang mengharapkan pembangunan.

Kereta-keretea mewah -  Range Rover, Mercedes, Volvo, Lexus, Mazda, Audi, BMW, Fortuner dan Ford Ranger, turut dirampas oleh SPRM.
Kereta-keretea mewah – Range Rover, Mercedes, Volvo, Lexus, Mazda, Audi, BMW, Fortuner dan Ford Ranger, turut dirampas oleh SPRM.

Beliau mengambil contoh, projek pembinaan paip dan bekalan air luar bandar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia sejak beberapa tahun lalu di kawasannya yang telah menelan belanja lebih RM60 juta, gagal menyelesaikan masalah air di Tenom.

“Projek ini seperti projek gajah putih, contohnya di Kampung Pokokon saluran paip utama ada tetapi tiada air yang disalurkan. Begitu juga tiada penyambungan  saluran paip ke rumah-rumah penduduk kampung yang terlibat.

“Peruntukan yang begitu besar dibelanjakan untuk projek infrastruktur ini, malangnya tidak dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada rakyat di luar bandar”, tegasnya.

Sementara itu, Raime turut menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri untuk mengkaji sistem dan prosedur dalam pemberian tender dan projek di jabatan-jabatan kerajaan.

Katanya, dengan mengkaji dan menambah baik sebarang kelemahan dalam sistem dan prosedur pemberian tender dan projek kerajaan akan mengurangkan ketirisan dan juga peluang kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai tertentu.

“Sudah tiba masanya sistem dan prosedur yang tidak sesuai dikaji dan ditambah baik bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan kuasa dalam pemberian tender dan projek kerajaan”, katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman bahawa Kerajaan Negeri akan mengkaji sistem dan prosedur dalam pemberian tender dan projek dalam jabatan untuk mengenal pasti kelemahan yang memberi peluang kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.