Skandal Air Sabah: SPRM Tahan Seorang Lagi Jurutera Daerah

dares2

KOTA KINABALU – Seorang lagi jurutera daerah Jabatan Air Negeri Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata jurutera berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira 6.40 petang semalam sebelum dibawa Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan tahanan reman.

“Majistret Faizal Che Saad telah membenarkan reman selama lima hari terhadap suspek bermula hari ini,” kata sumber berkenaan, di sini hari Isnin.

Some of the suspects being taken to the Kota Kinabalu
Sebahagian dari suspek yang direman minggu lalu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin. 

Sementara itu, sumber tersebut memaklumkan lima daripada 19 suspek yang ditahan SPRM pada 19 Oktober lalu berhubung kes itu telah dibebaskan daripada tahanan reman dengan masing-masing dikenakan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Menurutnya, setakat ini SPRM telah merampas wang tunai RM8.4 juta daripada kesemua suspek yang ditahan dalam Ops Water Fasa II yang dilancarkan pada 19 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan maklumat berkenaan.

ttttt
Duit dan barang kemas yang dirampas dari rumah pegawai atasan Jabatan Air Negeri Sabah.

Pada 4 Oktober lalu, SPRM melancarkan Ops Water Fasa I dan menahan empat pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah di sini, termasuk pengarah dan timbalan pengarah jabatan itu, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berkenaan.

Ekoran penahanan empat suspek berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM114 juta tidak termasuk 127 geran tanah dan barangan kemas.

Bagaimanapun keempat-empat suspek berkenaan telah dibebaskan dengan ikat jamin antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin.

Ops Water Fasa II dilancarkan selepas SPRM mengesyaki ramai lagi pegawai daripada jabatan berkenaan terlibat dalam penyelewengan berkenaan hasil daripada siasatan terhadap  pegawai yang ditahan sebelum itu.