Skandal Air Sabah II: MACC Tahan 19 Ketua Bahagian, Rampas RM2.4 Juta

maccb

dares2

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan satu lagi siri operasi selepas mengenalpasti beberapa lagi individu yang dipercayai dapat membantu dalam siasatan penyelewengan dana infrastruktur Jabatan Air Negeri Sabah.

Dalam operasi yang dijalankan serentak di 27 lokasi melibatkan Jabatan Air Bahagian dan Daerah di seluruh Sabah semalam (19/10/2016), SPRM telah menahan seramai 19 Ketua Bahagian dan Daerah.

Menurut sumber, SPRM juga telah merampas wang tunai lebih kurang RM2.4 juta daripada beberapa suspek yang ditahan.

“Siasatan awal mendapati jurutera bahagian/daerah ini telah membuat kutipan antara 27 peratus hingga 30 peratus jumlah nilai projek JANS daripada kontraktor-kontraktor yang mendapat projek sebut harga JANS di seluruh Sabah,” sumber itu berkata.

Pelbagai dokumen perolehan juga telah dirampas dalam operasi tersebut dan pegawai-pegawai SPRM masih sedang meniliti semua dokumen itu bagi tujuan mengumpulkan bukti.

SPRM akan merakam percakapan mereka yang ditahan bagi mendapatkan lebih maklumat berhubung siasatan yang dijalankan.

Azam Baki
Azam Baki

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan operasi yang telah dilancarkan tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan itu.

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan siasatan SPRM hanya menjurus kepada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan yang menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan setakat ini tidak melibatkan mana-mana ahli politik samada di peringkat Negeri Sabah atau kerajaan persekutuan.

“Saya meminta semua pihak untuk tidak mempolitikan isu ini dan mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM bagi kepentingan masing-masing,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, kes ini juga melibatkan sejumlah dokumen perolehan yg banyak dan pegawai SPRM sedang giat meneliti semua dokumen yang dirampas dan pihaknya memerlukan masa untuk menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

SPRM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan professional tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Oleh itu, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes ini dan SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan SPRM.