Skandal Air Sabah: Bekas Pengarah, Isteri, Penasihat Kementerian Mengaku Tidak Bersalah

Awang Mohd Tahir, bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dibawa ke Makhamah Seysen Kota Kinabalu hari Khamis.
Awang Mohd Tahir, bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dibawa ke Makhamah Seysen Kota Kinabalu hari Khamis.

KOTA KINABALU – Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan isteri serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Negeri mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta dalam bentuk tunai dan simpanan bank serta memiliki barangan berjenama mewah secara menyalahi undang-undang.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari Khamis di sini atas 12 kesalahan melakukan penyelewengan dana infrastruktur berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah, dan kerana terlibat secara langsung dalam transaksi wang tunai berjumlah RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

Fauziah Piut
Fauziah Piut, isteri kepada Ag Tahir mengaku tidak salah atas 19 pertuduhan memiliki barangan kemas, beg mewah dan RM2.2 juta dalam akaun bank.

Beliau juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, atas dua pertuduhan memiliki barangan kemas secara tidak sah, manakala Fauziah juga menghadapi 19 pertuduhan lain, memiliki barangan kemas dan beg mewah serta mempunyai simpanan RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Penasihat teknikal dan kejuruteraan, Lim Lam Beng, 62, yang telah digantung tugas, memohon dibicarakan atas tiga pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan memiliki kenderaan mewah secara tidak sah.

Ketiga-tiga mereka (dan beberapa orang lain) ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana yang disalurkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada Oktober lalu, dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) dan 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Isterinya, Fauziah dituduh dengan 18 pertuduhan kerana memiliki wang berjumlah RM2,229,632.65 dalam 18 akaun bank yang berlainan di Sabah dan satu pertuduhan kerana memiliki 93 beg pelbagai jenama yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Lim Lam Beng adalah penasihat kepada Kementerian Kewangan Sabah, dan juga bekas timbalan pengarah Jabatan Air.
Lim Lam Beng adalah penasihat kepada Kementerian Kewangan Sabah, dan juga bekas timbalan pengarah Jabatan Air.

Kedua-duanya juga dituduh secara bersama atas dua pertuduhan kerana memiliki harta dalam bentuk barang perhiasan (575 jenis emas dan 346 jenis bukan emas).

Bagi pertuduhan tersebut, kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Tertuduh ketiga, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Lim Lam Beng, 62, dituduh memiliki wang RM2,380,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001.

Hakim, Ummu Kalthom Abd Samad membenarkan AG Mohd Tahir diikat jamin sebanyak RM10 juta dengan dua orang penjamin sementara isterinya pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua orang penjamin.

Lim pula dibenarkan diikat jamin dengan RM 1 juta dengan dua orang penjamin.

Kesemua tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula bagi kesemua kes tersebut ditetapkan pada 28 Februari 2017.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Husmarudin Husin dan Farez Rahman.