Skandal Air Di Sabah: 14 Pegawai JANS Bebas Daripada Reman Di Ikat Jamin

Some of the suspects being taken to the Kota Kinabalu
Antara suspek terdiri dari pegawai-pegawai Jabatan Air Negeri Sabah dibawah ke Makhamah Majistret untuk dibebas dari reman dengan ikat jamin.

KOTA KINABALU – Seramai 14 pegawai sebuah jabatan kerajaan di Sabah, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana projek asas bernilai RM3.3 bilion, dibebaskan hari Rabu.

Sumber rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata kesemua individu terbabit dibebaskan dengan ikat jamin di antara RM50,000 dan RM200,000 tanpa deposit dengan dua penjamin setiap seorang.

sprm

Mereka terdiri daripada lima jurutera bahagian, tiga jurutera daerah dan masing-masing seorang juruteknik dan pegawai kerja air dari Jabatan Air Negeri Sabah yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota, kata sumber itu hari ini (Rabu).

“Selain itu, seorang jurutera bahagian dan dua juruteknik dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu manakala seorang jurutera yang dibebaskan Mahkamah Majistret Tawau,” kata sumber itu.

Mereka adalah antara suspek yang ditahan SPRM dalam ‘Ops Water’ Fasa II pada 19 Okt lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 4 Okt lepas, SPRM melancarkan ‘Ops Water’ Fasa I dan menahan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan terbabit bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berkenaan.

Berikutan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM114 juta serta 127 geran tanah dan barangan kemas.

Keempat-empat individu berkenaan telah dibebaskan daripada reman dengan ikat jamin di antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin.

SPRM melancarkan ‘Ops Water’ Fasa II selepas mengesyaki ramai lagi pegawai daripada jabatan berkenaan terlibat dalam penyelewengan itu hasil daripada siasatan terhadap pegawai yang ditahan sebelum itu.