SK Nexilis Bakal Dirikan Kilang Kerajang Tembaga Di Sabah

KOTA KINABALU: SK Nexilis, sebuah syarikat dari Korea Selatan bercadang membuka kilang pembuatan kerajang tembaga luar negara pertamanya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Mohd Noor yang mengalu-alukan pelaburan asing, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan membantu syarikat berkenaan.

Terdahulu, beliau bertemu dengan rombongan syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 itu yang diketuai oleh naib presiden Lee Hyun Woo di Sri Gaya di sini, hari ini.

“Saya berharap usaha SK Nexilis di Sabah akan menarik minat syarikat lain di seluruh dunia dan Korea untuk datang dan melabur di sini,” kata Hajiji, yang juga Menteri Kewangan negeri dalam satu kenyataan. 

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan pegawai dari Invest Sabah, Kompleks Industri Kota Kinabalu (KKIP) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

SK Nexilis, anak syarikat SKC Co, yang merupakan sebuah syarikat Fortune 500 Korea, dijangka membuat pelaburan sebanyak RM2.3 bilion di KKIP yang bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

Pembinaan kilang pembuatan itu dijangka bermula Julai tahun ini.

Hajiji berkata pelaburan itu akan menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menumpukan kepada sektor pembuatan komponen kenderaan elektrik (EV) dan mewujudkan tindak balas rantaian positif terhadap ekonomi negeri secara amnya.