
KOTA KINABALU: Hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kiawayan, Tambunan berlepas ke Turki bagi mewakili Malaysia dalam pertandingan International Folklore Dance Festival.
Namun, wang perbelanjaan yang diperlukan masih belum mencukupi. Maka, pihak sekolah menerusi Kelab Tarian Kiawayan (KDC) memutuskan mengadakan aktiviti mengumpulkan dana tambahan.
Guru Pengiring Suzan Sicham berkata, Kerajaan Sabah ada memberikan sumbangan dana pada September namun, mereka masih memerlukan kira-kira RM40,000 lagi untuk menampung segala perbelanjaan sepanjang menyertai pertandingan kesenian rakyat yang akan berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember itu.
Beliau bagaimanapun melahirkan ucapan penghargaan terhadap Kerajaan Sabah atas sumbangan dana yang diberikan.
Menurutnya, selepas pelajar SK Kiawayan itu memenangi Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa di Perak pada Julai, mereka dimaklumkan untuk mewakili Malaysia ke peringkat seterusnya, iaitu di Turki.
Atas sebab itu, bermula Julai, KDC menggerakkan usaha mengumpul dana bagi memastikan segala keperluan mereka di Turki dapat diurus dengan sebaiknya.
Katanya, walaupun pertandingan itu tidak memerlukan yuran penyertaan namun, tiket penerbangan, penginapan dan tempat tinggal perlu ditanggung oleh peserta.
Menurutnya, pertandingan itu akan disertai 13 orang pelajar dan diiringi oleh lima orang guru.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pihak sekolah di talian 087 774942.