Sistem Baharu, Pengusaha Bas Persendirian Di Sabah Akan Hilang Pekerjaan

KOTA KINABALU: Pengumuman terbaharu untuk membenarkan hanya sebuah syarikat konsortium sahaja beroperasi dilihat akan membunuh pemandu dan pengusaha bas persendirian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata, pihak Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah seharusnya mengadakan sesi dialog umum terlebih dahulu sebelum memutuskan perkara tersebut.

Pengumuman untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang baharu pada September ini amat mengejutkan kerana ia hanya membenarkan sebuah syarikat gergasi sahaja beroperasi.

Junz berkata, pendapatan pemandu dan pengusaha bas awam persendirian sudah cukup terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang kerajaan ingin merampas satu-satunya mata pencarian mereka dengan memperkenalkan sistem yang baharu.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan cara untuk membantu pemandu dan pengusaha bas persendirian kerana ada antara mereka perlu melangsaikan bayaran ansuran bulanan dan bukannya memaksa mereka berhenti beroperasi dengan memperkenalkan satu sistem baharu yang akan dikuasai oleh syarikat konsortium.

“Justeru, saya meminta pihak LPKP dan wakil Kementerian Kerja Raya Sabah untuk duduk berbincang melalui sesi dialog bersama pemandu dan pengusaha bas persendirian di negeri ini bagi mencari kaedan penyelesaian terbaik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, beliau akan mengemukakan surat rasmi kepada kementerian berkaitan bagi meminta mereka mengadakan sesi dialog bersama pemandu dan pengusaha bas awam di Sabah.

Sementara itu, wakil Persatuan Pemandu dan Pengusaha Bas Putatan Andika Abdul Hamid berkata, beliau merayu agar kerajaan akan membenarkan pengusaha persendirian untuk terus beroperasi di bawah sistem pengangkutan awam yang baharu yang dijangka akan berkuat kuasa pada September.

“Antara antara kami sudah beroperasi selama lebih 30 tahun maka, sistem baharu ini perlu dikaji semula kerana difahamkan ia hanya membenarkan sebuah syarikat konsortium beroperasi.

“Jika boleh kekalkan pengusaha persendirian walaupun sistem pengangkutan baharu dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, pendapatan mereka sudah cukup terjejas semasa pelaksanaan PKP dan sekarang mereka bakal kehilangan pekerjaan jika tidak dibenarkan untuk beroperasi di bawah sistem pengangkutan awam yang baharu.

Kerajaan perlu melihat kepada situasi menang-menang dalam melaksanakan sistem baharu ini.