Sistem Automasi Pembahagian Singkatkan Tempoh Pemulihan Bekalan Elektrik

178

LABUAN: Kekerapan gangguan elektrik dan tempoh pemulihan bekalan di Sabah dan Labuan telah dapat dikurangkan dengan pelaksanaan projek pemasangan sistem Automasi

Pembahagian iaitu ‘Distribution Automation’ (DA) yang dimulakan sejak tahun 2016.

Projek ini merupakan salah satu inisiatif proaktif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam memastikan bekalan elektrik lebih berdaya harap.

Melalui projek ini, SESB dapat meningkatkan keboleharapan bekalan, meningkatkan kecekapan operasi, meminimakan tempoh gangguan bekalan serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan selain daripada meningkatkan keselamatan operasi.

Di samping itu, projek ini juga akan menjadi platform kepada pelaksanaan teknologi grid pintar.

Menurut pemangku Pengarah Urusan SESB, Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, SESB sistem Automasi Pembahagian itu telah pun siap dipasang di beberapa kawasan kritikal di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan Labuan.

Katanya kawasan-kawasan berkenaan merupakan projek perintis sistem Automasi Pembahagian yang merupakan kawasan kerap mengalami gangguan bekalan elektrik dengan tempoh pemulihan bekalan sebelum ini yang agak panjang.

“SESB telah memperuntukkan lebih kurang RM12.5 juta bagi pelaksanaan projek ini yang telah dilaksanakan dalam dua fasa,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke sub-station SESB di Bangunan JBA, Jalan Jumidar Buyong hari ini.

Katanya fasa pertama melibatkan 32 unit pepasangan Automasi Pembahagian seperti Earth Fault Indicator (EFI) SCADA Ready, Line Fault Indicator (LFI) SCADA Ready dan Auto Recloser (AR) SCADA Ready, di Kota Marudu, Kota Kinabalu dan Sandakan yang telah siap dipasang dan dioperasikan.

Manakala fasa kedua melibatkan pemasangan 247 unit pepasangan Automasi Pembahagian yang terdiri daripada Motorised RMU SCADA Ready, VCB SCADA Ready, LFI SCADA Ready, EFI SCADA Ready & AR SCADA Ready, di kawasan Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, Kota Marudu dan Labuan, yang dijangka akan siap sepenuhnya pada April 2019.

Bagi kawasan Labuan pula sebanyak sebelas 11 pepasangan Automasi Pembahagian telahpun siap dipasang di beberapa lokasi strategik.

“Pelaksanaan Automasi Pembahagian ini membolehkan sistem pembekalan elektrik dikendalikan terus daripada ‘Pusat Kawalan Pembahagian’ (DCC) di Kota Kinabalu.

“Dan setiap kali berlaku gangguan elektrik, pihak DCC dapat memulihkan bekalan dengan segera terhadap kawasan yang terlibat sementara kerja-kerja pencarian/ pembaikan kerosakan sedang dilakukan oleh anggota kerja SESB,” katanya.

Naseer berkata dengan adanya sistem ini pasukan tunggu sedia (standby team) SESB tidak lagi mengambil masa yang lama untuk mencari punca gangguan.

Tempoh pemulihan bekalan elektrik dapat dilakukan dalam masa yang singkat demi keselesaan pengguna.

Nasser (tiga dari kanan) bersama jurutera dan pengurusan tertinggi melawat sub-station SESB di Bangunan JBA Jumidar Buyong hari ini.