Sisa Klinikal COVID-19 Di Sabah Lebih 6 Tan Sehari

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) membenarkan Sedafiat Sdn Bhd untuk menghantar lambakan sisa klinikal Covid-19 ke Semenanjung Malaysia untuk dilupuskan.

Ketika ini, satu-satunya syarikat dilantik bagi mengendalikan sisa klinikal di Sabah ini menerima lebih kurang 6 hingga 13 Tan Metrik sehari sisa klinikal yang merangkumi sisa buangan dari 45 pusat kuarantin Covid-19 di seluruh negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, setelah mengambil peningkatan sisa klinikal akibat pertambahan kes Covid-19, kerajaan membenarkan sisa klinikal itu dilupuskan di Semenanjung Malaysia.

Disamping itu, Sedafiat juga perlu memastikan pengurusan sisa klinikal itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Disamping itu, kerajaan juga telah mengarahkan syarikat berkenaan untuk menyegerakan pembinaan insinerator di Sabah.

Untuk pelupusan di Semenanjung, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diminta untuk memaklumkan mengenai penghantaran kontena-kontena sisa klinikal ini kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Kastam DiRaja Malaysia bagi tujuan melancar dan mempercepatkan penghantaran sisa klinikal ini untuk dirawat dengan segera.

“Syarikat juga telah diarahkan untuk mencari kaedah pembungkusan sisa klinikal yang lebih efektif. Ini bagi mempercepatkan pengisian jumbo bag berisi sisa klinikal ke dalam kontena dan mengurangkan longgokan sisa klinikal di luar premis,” katanya ketika mengulas mengenai pengurusan lambakan sisa klinikal Covid-19 di kilang Sedafiat di Lokkawi.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri menerusi JAS sentiasa memantau pengurusan sisa klinikal yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Pihak JAS memantau secara harian kuantiti sisa klinikal yang diterima untuk rawatan dan pelupusan oleh syarikat berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati memang terdapat pertambahan sisa klinikan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi di Sabah,” ujarnya.