‘Kerajaan Warisan Tidak Terlibat Dengan Pemindahan Batu Sumpah’

7908
Tuduhan yang menyatakan kerajaan pimpinan Warisan telah mempolitikkan Batu Sumpah adalah tidak benar sama sekali, L Sipin Padua, kiri.

Oleh GM THOMAS
KENINGAU: Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah Loretto Sipin Padua menafikan dakwaan pembangkang yang mengaitkan kerajaan dengan proses pemindahan Batu Sumpah Keningau.

Beliau berkata, tuduhan yang menyatakan kerajaan pimpinan Warisan telah mempolitikkan Batu Sumpah adalah tidak benar sama sekali.

“Idea pemindahan ini telah dikemukakan kerajaan terdahulu dan peruntukkan untuk majlis tersebut telah diluluskan dan disampaikan sendiri oleh bekas Menteri Pelancongan and Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

GAMBAR FAIL: Nazri, bertopi, dengan Pairin, Kurup, Masidi Manjun dan beberapa orang lain.

Acara itu turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri pada masa itu termasuklah Joseph Pairin Kitingan dan Joseph Kurup, Masidi Manjun selain Pegawai Daerah Keningau.

“Adalah tidak adil untuk menuduh pemimpin-pemimpin kerajaan yang hadir pada upacara tersebut dengan pelbagai tuduhan kerana kehadiran kami hanyalah sebagai jemputan dan atas dasar menghormati upacara pemindahan Batu Sumpah yang begitu penting bagi masyarakat pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Loretto berkata, beliau tidak pasti kenapa Gapari, ahli Parlimen Keningau dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor serta Pairin, iaitu Huguan Siou tidak hadir pada upacara bersejarah itu.

Beliau berkata, sebagai pemimpin di kawasan pedalaman dan pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM), mereka sepatutnya datang kerana kehadiran mereka sangat penting.

“Kita sepatutnya mengenepikan pegangan politik masing-masing dan bersama-sama menyaksikan pemindahan Batu Sumpah yang menjadi pegangan masyarakat pedalaman selama ini.

Malah, ramai pemimpin masyarakat yang hadir termasuklah waris-waris mendiang Datuk Seri Panglima Sedomon Gunsanad bagi menyaksikan upacara tersebut,” jelasnya.

Loretto juga menyarankan penganjur upacara tersebut supaya tampil memberi penjelasan agar tidak ada lagi isu yang boleh dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

BERITA BERKAITAN: –

21 Haiwan Ternakan Dikorban Bersempena Upacara Pindah Batu Sumpah