Sindiket Penyeludupan Tumpas, Tenggiling Dan Kaki Beruang RM8.4 Juta Dirampas

749
Ratusan kotak berisi daging tenggiling beku ditemukan dalam sebuah kontena.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TUARAN: Sebuah sindiket penyeludupan haiwan eksotik yang beroperasi di daerah ini sejak tujuh tahun lalu tumpas selepas diserbu pihak polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah pada malam Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dalam operasi pada pukul 8.46 malam itu, pihak berkuasa menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan merampas sebanyak 1,860 ekor tenggiling beku, tenggiling hidup, kaki beruang dan keluang bakau.

Katanya, kesemua haiwan eksotik itu yang ditemukan dalam tiga kontena di sebuah gudang di Kampung Bontoi, Tamparuli bernilai RM8.4 juta.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama sepasukan pegawai dari JHL Sabah telah membuat serbuan di sebuah gudang di Jalan Sepanggar kerana terdapat maklumat kegiatan penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit binatang tenggiling secara haram.

Omar Mammah melihat daging tenggiling beku yang diseludup oleh sebuah sindiket.

“Hasil serbuan telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan merampas sebuah kenderaan serta 35 ekor tenggiling yang masih hidup di bahagian but kereta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di gudang berkenaan.

Yang turut hadir, Pengarah JHL Agustine Tugaa; Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji; dan Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Dzulbaharin Ismail.

Omar berkata, siasatan awal mendapati kesemua bahan seludup itu adalah untuk pasaran gelap dalam dan luar negeri, manakala suspek menggunakan kenderaan kecil sebagai transit untuk mengelakkan daripada dikesan.

Kata Omar, lebih banyak individu akan ditahan selepas ini termasuk pemilik gudang berkenaan yang masih dicari.

Daging tenggiling beku.

“Kami akan mengesan pemilik kilang. Banyak pekerja lain turut terlibat kerana ada tiga buah kontena di dalam gudang ini.

“Daripada maklumat awal, daging-daging ini untuk pasaran tempatan dan juga ke negeri Sarawak, kita juga akan menyiasat di restoran-restoran yang mungkin dijadikan pelanggan tempay membeli daging-daging tenggiling ataupun hidupan liar, “katanya.

Sementara itu, Augustine berkata, pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh berhubung kes berkenaan dan meminta orang ramai terus membantu JHL Sabah dalam membasmi kegiatan penyeludupan binatang eksotik di negeri ini.

“Kadar populasinya rendah dan ditambah lagi oleh pemburuan haram, namun kita tidak ada angka untuk memberitahu bahawa ini jumlah populasi tenggiling di Sabah.

“Pada masa kini tenggiling ialah haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah jadual satu enakmen pemuliharaan hidupan liar,” katanya.