Sindiket Penyeludupan Tumpas, Barang Seludup RM8.3 Juta Dirampas

1136
Sebahagian barang seludup bernilai RM8.3 juta yang dirampas di Tamparuli.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Satu sindiket penyeludupan arak, rokok serta mercun yang beroperasi di sebuah stor di Kampung Bontoi, Tamparuli tumpas selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil serbuan, pihak berkuasa berjaya merampas pelbagai jenama barangan seludup itu yang cuba mengelak daripada cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bernilai RM8.3 juta.

Katanya, tiga lelaki termasuk dua warga asing berumur antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Omar Mammah menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.

“Sebanyak 114,350 bungkus rokok pelbagai jenama dirampas. Kesemua rokok ini bernilai RM557,830 tanpa cukai dan boleh mencecah RM5.5 juta dengan cukai.

“Pihak berkuasa juga menemukan 2,746 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.6 juta serta bermacam jenis mercun bernilai RM6,235,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Turut hadir Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali.

Omar Mammah menunjukkan arak yang dirampas kerana mengelak daripada cukai.

Omar berkata, sebelum melakukan serbuan pihak berkuasa yang menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan daripada orang awam telah melakukan intipan bermula Isnin lalu dan mendapati terdapat perkara mencurigakan di stor terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua barangan seludup itu adalah untuk pasaran tempatan memandangkan wujud permintaan yang tinggi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Polis turut merampas sebuah van bernilai RM90,000 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai ini,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (pindaan 2018) dan Akta Bahan Letupan 1957 bagi rampasan mercun.