Sindiket Penyeludupan Rokok Bernilai RM8.7 Juta Tumpas

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di daerah ini dengan rampasan rokok bernilai RM8.7 juta di Jalan Kampung Iban Merotai, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA daerah, Superitenden Mohd Yacob Murad berkata, rampasan itu dilakukan pada jam 10 pagi kelmarin oleh anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, semasa menjalankan pemantauan Op Kontraban, anggota Batalion 14 PGA berjaya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Kemudian, mereka mengekori rapat lori tersebut sehingga pemandu memberhentikan lori di Jalan Kampung Iban Merotai.

Apabila diperiksa, pemandu warga tempatan berusia 37 tahun itu didapati membawa muatan 604 kotak besar yang dipercayai mengandungi pelbagai jenis rokok seludup.

Kesemua rokok yang dirampas membabitkan lebih 6 juta batang dan dianggarkan bernilai RM8.7 juta.

“Rokok tanpa cukai itu disyaki diseludup masuk daripada negara jiran untuk pasaran di daerah ini dan kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan operasi kemudian membawa suspek dan semua barang rampasan termasuk lori ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. Seterusnya barang rampasan dibawa ke Pejabat Kastam Tawau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.