Sindiket Mungkin Terlibat Dalam Aktiviti Bom Ikan

149
Kamaruszaman (tengah) bersama pegawai Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen menunjukkan hasil rampasan terbaharu aktiviti pengeboman ikan di Pulau Gaya.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan sindiket dalam aktiviti mengebom ikan yang berlaku di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, bahan letupan dan peralatan membuat bom ikan ini kebanyakan diperolehi dari negara jiran, Filipina. Jadi, berkemungkinan ada sindiket yang terlibat dalam membekalkan bahan letupan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun serbuk peledak (detonator) yang digunakan ada di jual di pasaran tempatan namun penjualannya terkawal. Antara kegunaannya adalah bagi memecahkan batu-batu besar di kilang kuari.

Berdasarkan tangkapan yang dibuat sebelum ini, kebanyakan aktiviti pengeboman ikan ini dilakukan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Statistik tangkapan pada tahun lalu merekodkan 11 tangkapan dilakukan membabitkan PATI dan warga tempatan. Manakala tiga tangkapan direkodkan tahun ini, ia termasuk dua tangkapan di Pulau Gaya pada Rabu.

“Daripada tangkapan itu, 19 orang berjaya ditahan dan dihukum atas kesalahan mengebom ikan dan suspek selebihnya ada yang berjaya melarikan diri di tempat kejadian,” katanya ketika Sidang Media sempena Operasi Khas membanteras bom ikan, PATI dan penggunaan pam bot haram, di sini pada Khamis.

Kamaruszaman berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu juga disiasat dibawah Seksyen 3 Akta 357 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman sebatan dan penjara tidak lebih tujuh tahun.

Menurutnya, kawasan pelantar minyak juga antara kawasan panas yang disasarkan bagi melakukan aktiviti pengeboman ikan disebabkan kawasan itu mempunyai banyak ikan.

Selain bom ikan, aktiviti menggunakan racun sodium cyanite turut digunakan bagi menangkap ikan di Sabah.

Atas sebab itu, anggota Maritim Negeri akan mempergiatkan usaha memantau kawasan perairan Sabah termasuk kawasan pelantar minyak bagi memastikan aktiviti mengebom ikan ini dapat ditegah dengan sebaiknya.

Ditanya mengenai alat pengesan bom ikan, beliau berkata, alat sedemikian ada dipasang oleh Taman-Taman Sabah di Semporna.

Aktiviti mengebom ikan ini berbahaya kepada penyelam scuba kerana boleh mendatangkan kecederaan dalaman yang serius hingga membawa maut.Malah, ia juga memusnahkan ekosistem hidupan marin seperti terumbu karang.

Oleh itu, aktiviti ini perlu akan dibanteras secara bersungguh-sungguh dan bantuan orang awam dalam membantu menyalurkan maklumat mengenai aktiviti ini amat diperlukan.