Sindiket Judi Beroperasi Di Kondominium Tumpas

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan sebuah kondominium mewah The Garden di sini sebagai pusat operasi.

Dalam serbuan berasingan pada pukul 6 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan seorang pengusaha kolam udang termasuk isterinya serta tiga kenalan mereka yang berusia antara 24 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati pengusaha tersebut sengaja memilih tempat kondominium demi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Hasil risikan dan pemantauan selama tempoh hampir dua minggu, kita berjaya mengesan dan menyerbu pusat operasi sindiket terbabit dan menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri.

“Ketika serbuan itu, ahli sindiket terbabit sedang mengatur perjudian dalam talian bernilai RM3,815.

“Polis turut merampas beberapa set komputer, komputer riba, 13 telefon bimbit dan perkakasan yang digunakan untuk operasi perjudian pusat panggilan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Penampang, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haris berkata, sindiket itu dipercayai membuat keuntungan purata harian sebanyak RM5,000 dan purata bulanan mencecah RM150,000 serta dipercayai sudah beroperasi selama lima bulan dengan purata keuntungan RM750,000.

“Sindiket ini diketuai seorang lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kolam udang dan empat yang lain sebagai pekerja dengan kadar gaji RM1,200 sebulan

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, Mohd. Haris menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil sama ada penganjur mahupun pelanggan.

“Kerjasama masyarakat khususnya di daerah ini diharap berterusan bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah termasuk perjudian haram di dalam talian,” katanya.