Sindiket Jual Sijil Digital Vaksin Direman Hingga 18 Jan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai orang tengah yang disyaki terlibat dalam sindiket penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 direman selama tujuh hari sehingga 18 Januari ini.

Penganggur berusia 31 tahun itu diperintahkan menjalani reman bermula kelmarin setelah permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Suspek ditahan reman bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan bagi menyiasat kes berskala sindiket yang dipercayai membabitkan golongan anti vaksin.

Kelmarin, lelaki tempatan itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kerana disyaki mengambil bayaran RM2,000 daripada orang awam untuk mendaftarkan sijil digital vaksinasi Covid-19 di dalam aplikasi MySejahtera tanpa perlu mengambil suntikan vaksin pada Oktober tahun lalu.