Sindiket Edar Dadah Tumpas, RM1.99 Juta Syabu Dirampas

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang membabitkan rampasan syabu seberat 55.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.99 juta.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, rampasan dadah itu dilakukan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandaraya ini pada 4 dan 9 Januari lalu.

Dalam serbuan pertama, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di tempat letak kereta di sebuah syarikat penghantaran barang di Pekan Inanam pada 4 Januari, kira-kira jam 4.15 petang, polis berjaya menemukan tiga kotak barangan akuarium yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 33.62 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.21 juta.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang merupakan pemandu kenderaan sewa tersebut.

“Siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah bangunan komersial di Aeropod pada 9 Januari, jam 9.50 pagi dengan dipandu arah oleh suspek.

“Serbuan ini menjumpai dua kotak barangan yang mengandungi syabu seberat 21.78 kilogram yang dianggarkan bernilai RM784,000. Rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM1.99 juta.

“Selain itu, anggota kita juga menyita wang tunai bernilai RM102,097 dan membawa jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM2.09 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini menggunakan khidmat penghantaran barang yang didaftarkan sebagai barangan akurarium untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tangkapan dan rampasan ini adalah hasil perkongsian maklumat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan JSJN Sabah.

Jelasnya, saringan awal mendapati suspek positif dadah dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mencuri dan kes dadah.

Suspek ditahan reman sehingga 18 Januari ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.