Sindiket Dadah Dengan Nilai Rampasan RM108,000 Berjaya Ditumpaskan Di Labuan

1356
Omar (tengah) menunjukkan hasil rampasan syabu yang berjaya ditumpaskan di Labuan

KOTA KINABALU: Tindakan sepasang suami isteri warga tempatan menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam plastik minuman segera (5 dalam 1) berjaya dikesan apabila kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis di bandar Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu seberat 2.137kg yang bernilai kira-kira RM108,000.

Beliau berkata, rampasan itu adalah rampasan sindiket dadah terbesar yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Labuan pada tahun ini.

Katanya, ketika operasi dijalankan oleh pasukan polis Labuan pada 5 Februari, mereka terlihat seorang lelaki dan wanita sedang berjalan sambil membimbit beg pakaian dalam keadaan mencurigakan.

”Ketika diperiksa kedua-dua suspek yang berusia awal 20an hanya mendiamkan diri. Namun hasil pemeriksaan terdapat bungkusan minuman segera (5 dalam 1 serta 3 dalam 1). Di dalamnya terdapat 42 bungkusan lutsinar seberat 2.137kg dengan anggaran rampasan RM108,000.

”Ini rampasan terbesar JSJN Sabah dan Labuan bagi tahun ini,” katanya dalam Sidang Media, di sini pada Khamis.

Omar berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ditangkap sehingga 13 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kesemua dadah itu untuk pasaran tempatan di Labuan dan ia dibawa masuk dari Kota Kinabalu menggunakan bot laju.

Sementara itu, mengenai tangkapan kes dadah sejak Januari hingga 6 Februari, terdapat 1,692 orang ditangkap atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan AKta Racun 1952. Ia menunjukkan peningkatan 34 orang berbanding 1,658 tangkapan pada tahun 2018.

Daripada jumlah itu, sebanyak 130 orang pengedar dadah ditangkap di bawah Seksyen 39B, 39A (2) dan 39A (1) yang melibatkan dadah jenis syabu seberat 3370.31gram berbanding 3,043.62gram pada 2018.

Omar berkata, terdapat juga tangkapan melibatkan daun ketum sejumlah 6,000 gram. Tiada sebarang tangkapan daun ketum pada tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan kes yang berlaku adalah hasil operasi agresif yang dijalankan di semua daerah.

“Kita berharap prestasi membanggakan ini dapat diteruskan dengan meningkatkan keupayaan risikan dan operasi di semua daerah dan kampung.

“Kita juga berharap akan terus mendapat kerjasama orang awam dalam membantu kita memerangi aktiviti pengedaran dadah di negeri ini,” ujarnya.