Siling Runtuh Di Klinik Kesihatan Putatan! Cepat Ambil Tindakan

Kejadian Siling Runtuh Di Klinik Kesihatan Putatan.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
PUTATAN: Parti Warisan Sabah menggesa kerajaan untuk melakukan kerja penyelenggaraan yang sepatutnya dengan lebih kerap di Klinik Kesihatan Putatan.

Ketua Penyelaras Warisan DUN Petagas, Dullie Marie, berkata ia amat penting bagi keselamatan pesakit dan kakitangan klinik lebih-lebih lagi ekoran kejadian siling runtuh yang berlaku kelmarin di klinik tersebut.

“Oleh yang demikian, kami selaku penduduk Putatan menggesa agar sesuatu yang lebih effektif dan efisyen dilakukan terhadap perkara ini.

“Perkara ini jika dinilai semula, ia menunjukkan kurangnya perihatin kerajaan terhadap penduduk.

DULLIE MARIE

“Bajet untuk Kementerian Kesihatan pun telah dikurangkan walhal penduduk di Putatan sangat memerlukan fasiliti yang mencukupi akibat kepesatan jumlah penduduk yang semakin meningkat dan bukannya TANDAS AWAM yang diraikan dengan karpet merah,” Dullie berkata dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, keadaan klinik sering sesak dengan pesakit dan kakitangan.

Tempat letak kereta Klinik Kesihatan Putatan juga tidak mampu menampung bilangan kenderaan sehingga pesakit terpaksa meletakkan kereta di luar kawasan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

“Oleh itu adakah klinik kesihatan itu cukup kondusif untuk menampung permintaan dan keadaan di Putatan pada masa kini?

Masalah letak kereta di kawasan Klinik Kesihatan Putatan.

“Adakah Marcus Mojigoh (MP Putatan) atau Yahya Husin (ADUN Petags) pernah turun padang meniliti masalah yang dihadapi penduduk Putatan berkenaan klinik ini?” kata Dullie.

Beliau juga menujukan beberapa soalan kepada kerajaan Barisan Nasional berikutan insiden siling runtuh di Klinik Kesihatan Putatan.

Selain bertanya berapa kerap operasi kerja penyelenggaraan dilakukan, beliau mahu syarikat yang dilantik untuk kerja-kerja penyelenggaraan klinik tersebut dinyatakan.

“Sekiranya Warisan diberikan mandat untuk memerintah Sabah, kami akan berusaha untuk mencari tempat yang lebih sesuai, menaiktaraf klinik/hospital dan memastikan persekitaran yang lebih selesa dan sesuai untuk pesakit dan pengunjung,” katanya.