Siling Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang Runtuh

KOTA KINABALU : Siling Dewan Semarak yang terletak di Tingkat 11, Wisma Dang Bandang di sini, runtuh petang tadi.

Sebelum itu gegaran dilaporkan turut dirasai kakitangan di bangunan berkenaan yang terletak berhampiran kawasan Kampung Air.

Antara agensi kerajaan yang ditempatkan di bangunan itu adalah Jabatan Penerangan dan beberapa agensi kerajaan lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.32 petang.

7 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Bomba melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan dan mengarahkan pihak pengurusan bangunan untuk mendapatkan pengesahan keselamatan struktur bangunan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian berkenaan.

Operasi bomba ditamatkan pada jam 4.18 petang.