Silap Strategi, James Ratib Kibar Bendera Putih?

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, Datuk James Ratib seperti telah mengangkat bendera putih berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam keterangan gambar yang dimasukkan di laman Facebook dipercayai miliknya iaitu YB Datuk James Ratib, beliau seperti memberi bayangan untuk tidak akan mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

“Selamat tinggal politik, berebutlah kamu jadi YB (yang berhormat),” katanya dalam gambar berkenaan.

Hantaran terbaharu itu mungkin menjelaskan kegagalan yang terpaksa dihadapi wakil-wakil rakyat yang melompat parti menyokong Tan Sri Musa Aman sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Ketika menyatakan sokongan kepada Musa, tujuan utama mereka sudah tentu mahu mengambil alih kerajaan secara tidak demokratik, namun langkah bijak diambil Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membubarkan DUN menggagalkan konspirasi jahat itu.

Pembubaran DUN bermaksud semua wakil rakyat yang melompat terutamanya yang berasal daripada UMNO ke Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum melompat sekali lagi untuk menyokong Musa kini telah terperangkap dan tidak mempunyai parti untuk diwakili.

Tindakan mereka juga telah menaikkan kemarahan rakyat Sabah yang tiba-tiba sahaja berdepan dengan pergolakan politik ketika negeri ini masih belum berjaya mengatasi pandemik Covid-19.

James merupakan antara pemimpin terawal yang berpaling tadah daripada menyokong Kerajaan Sabah pertengahan Jun lalu.

Turut bersama beliau ketika itu ialah penyandang kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Sementara itu, Borneo Today sedang berusaha menghubungi James untuk mendapatkan pengesahan tentang hantaran di Facebook berkenaan.