Sikap Integriti Tunggak Utama Suatu Kesatuan – Parti Cinta Sabah

RAMDI INDANG

Oleh RAMDI INDANG
KOMEN: Antara Dr Jeffrey Kitingan dan Wilfred M Bumburing, banyak perkara berlaku yang perlu kita imbas semula untuk dapat membuat penilaian bagi menjawab pertanyaan, wajarkah PCS keluar Gabungan Sabah (juga dikenali dengan nama United Sabah Alliance – USA)?

Sekitar bulan Julai tahun 2014, para pemimpin dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diketuai oleh Bumburing dan United Borneo Front (UBF) pimpinan Jeffrey telah bermesyuarat di Tambunan Golf Club dan telah bersetuju untuk bergabung dalam sebuah parti politik. Susulan dari itu, Gerakan Perubahan Sabah (GPS) telah dibentuk yang Ahli Jawatankuasanya terdiri dari barisan pemimpin APS dan UBF. Datuk Kalakau Untul telah dipilih untuk menjadi pengerusi GPS.

Seterusnya, satu deklarasi yang dipanggil ‘DEKLARASI KULUMBI’ telah ditandatangani pada 2hb Ogos 2014 apabila Jeffrey dan Bumburing menandatangani satu perjanjian kerjasama yang dipanggil GPS, kearah kedua-dua badan NGO ini bergabung dalam sebuah parti politik. Pada waktu itu, Jeffrey telah mengumumkan bahawa Parti Cinta Sabah (PCS) adalah parti yang akan dipakai oleh GPS dan beliau juga memaklumkan bahawa Bumburing akan menjadi presiden PCS sementara beliau adalah Ketua Umum.

Di antara Januari hingga Julai 2015, usaha untuk mengubah nama PCS menjadi United Sabah People’s Party telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan. Namun, perundingan diteruskan pada awal tahun 2015 bagi menyelaraskan tampuk kepimpinan atas dalam usaha untuk mendapat kedua-dua pemimpin ini mengambil alih PCS. Malangnya menjelang tiba 27 September 2015, iaitu tarikh jadual Mesyuarat Agung Luarbiasa PCS diadakan, Jeffrey memberitahu Bumburing bahawa dia tidak mahu bersama Bumburing dalam PCS.

Situasi ini membuat Bumburing serbasalah sehingga jadual pemilihan presiden baru pada waktu itu terpaksa ditangguhkan, dan Dr Nicholas Guntoban dinamakan presiden. Respons kepada seruan dan rayuan oleh kepimpinan PCS untuk Bumburing menerima sahaja jawatan Presiden tanpa Jeffrey bersama beliau, terpaksa ditangguhkan.

Pada Mesyuarat Agung Dwitahunan PCS pada September 2016 barulah Bumburing menerima cadangan para pemimpin PCS dan akar umbi untuk beliau menerima jawatan sebagai Presiden PCS dan memimpin parti tersebut.

Pada suatu ketika, Gabungan Sabah cuma ada tiga parti; dari kiri – Wilfred Bumburing, Mohd Noor Mansoor yang juga pengerusi, Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee.

Apa yang tidak diketahui oleh Bumburing dan barisan pemimpin PCS ialah bahawa Jeffrey secara senyap telah mendaftar parti Solidariti Tanah Airku dan mengekalkan singkatan STAR apabila Star Sarawak mengubah konsepnya yang tidak memasukkan Star Sabah dan Jeffrey di dalam konsep tersebut.

Tindakan ini beliau lakukan di antara bulan Jun dan Julai 2015.

Namun demikian usaha agar dua pemimpin ini kekal bersatu walau dalam apa keadaan sekalipun agar konsep penyatuan seperti yang diharapkan di dalam Gerakan Perubahan Sabah dapat diteruskan maka lahirlah USA. Nampaknya apa yang telah menggagalkan usaha menyatukan APS dan UBF jelas kelihatan melalui tindak-tanduk Jeffrey yang mahu meneruskan hubungan “belakang tabirnya” dengan pemimpin UMNO yang ramai pengamal politik termasuk sebilangan besar ahli Star yang meneruskan penyertaan mereka di dalam GPS dan PCS percaya telah lama bermula sebelum PRU13.

Hubungan berterusan antara Jeffrey dan para pemimpin lain dalam USA dengan pemimpin tertentu dalam UMNO membuat USA itu seperti diperalatkan untuk tujuan yang akan memihak kepada UMNO dan BN.

Berulangkali Bumburing mengingatkan rakan presiden lain dalam USA bahawa PCS tidak akan bersama-sama dengan pemimpin yang bersekongkol atau kelihatan seperti bersekongkol dengan pemimpin tertentu di dalam UMNO atau BN. Apabila salah satu parti yang sekarang ini adalah ahli dalam USA dengan terang-terang mengakui bahawa kelulusan pendaftaran partinya adalah atas bantuan pemimpjn tertinggi di dalam UMNO dan parti ini diterima masuk dalam USA tanpa mengambilkira pandangan PCS, maka keadaan ini menambahkan lagi kerisauan para pemimpin PCS mengenai keutuhan integriti kesatuan kepemimpinan USA.

Tambahan, adalah juga dipercayai bahawa proses pendaftaran salah sebuah parti dalam USA, iaitu STAR, juga mendapat kelulusan pantas atas bantuan pihak tertentu sekitar bulan Jun dan Julai 2016. Dasar USA yang hanya akan berunding dengan mana-mana parti termasuk parti dalam BN hanya selepas PRU14 juga tidak dapat diterima oleh PCS.

Dalam situasi seperti ini, PCS yang berharap dapat melakukan perubahan rejim melalui USA berpendapat bahawa matlamat ini tidak akan tercapai.

Berdasar kepada latarbelakang inilah maka langkah terbaik bagi PCS ialah keluar dari USA dan cuba melahirkankan satu kesepakatan yang lebih besar dan lebih luas bersama dengan parti-parti pembangkang lain yang selama ini tidak bersetuju bergabung dalam USA atas alasan tertentu, termasuk parti-parti pembangkang dari semenanjung kerana perubahan rejim di peringkat nasional hanya boleh dicapai dengan penyertaan parti-parti pembangkang dari Semenanjung.

  • Ramdi Indang adalah ketua penerangan Parti Cinta Sabah