Sifat Matang, Kaedah Politik Bung Moktar Harus Dicontohi

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALLU: Sifat matang dan kaedah politik yang ditunjukkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin harus dicontohi semua ahli politik di negara ini.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, meskipun dalam keadaan sukar membuat keputusan mengenai hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun beliau telah mengambil keputusan yang mengutamakan rakyat.

“Beliau dengan jelas menyatakan dalam konteks Sabah kesatuan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti diutamakan.

“Kejujuran dan keberanian sebegini harus dipuji dan dicontohi. Inilah contoh ahli politik yang berjiwa besar. Rakyat tetap diutamakan walaupun berhadapan dengan keadaan sukar khususnya berkaitan parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Sabah menyifatkan Bung Moktar sebagai ahli politik yang matang.

“Beliau berpolitik menggunakan pemikiran jauh dan meletakkan negeri dan rakyat sebagai tunjang perjuangan.

“Dalam konteks Sabah, PAS akan terus bekerjasama ke arah penyatuan dan perpaduan. Prinsip bersatu teguh bercerai roboh akan terus kami jadikan falsafah penyatuan dan perpaduan,” katanya.