Sidang Media Harian Bantu Sampaikan Fakta Kepada Rakyat – Masidi

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Pelaksanaan sidang media harian yang dilakukan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk menyampaikan fakta dan statistik tepat kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, cara sebegitu merupakan pendekatan terbaik untuk memberi maklumat yang tepat kepada orang ramai.

“Kegelisahan timbul apabila maklumat yang disampaikan kurang tepat dan inilah matlamat kita, dengan adakan interaksi dengan media, kita dapat sampaikan maklumat dan fakta sebenar, bukannya khabar angin,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Masidi berkata, sidang media yang diadakan adalah berdasarkan kesimpulan terhadap fakta dan statistik yang diperoleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurutnya, maklumat diperoleh melalui mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mempunyai taklimat Ketua Pengarah Kesihatan dan juga melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

“Melalui mesyuarat itu, laporan kesihatan akan dinlai dan kesimpulan yang dibuat yang akan dibaca setiap hari. Semua ini berpandukan fakta yang ada untuk disampaikan kepada orang ramai,” ujarnya.

Masidi berkata, keterbukaan sebegitu membolehkan orang ramai menerima fakta dan statistik sebenar daripada lapangan.