SICC: Sabah Bersedia Jadi Tuan Rumah Sidang Antarabangsa

2502

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sabah kini bersedia menjadi penganjur kepada persidangan dan acara-acara berprestij termasuk bertaraf antarabangsa melibatkan kehadiran konglomerat dan pemimpin terkemuka dunia dengan terbinanya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang kini hampir siap.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, SICC yang bakal menjadi mercu tanda baharu Sabah bakal menjadi platform untuk menarik kehadiran tokoh-tokoh korporat berkumpul di situ dan seterusnya mempromosi negeri kepada pelancong luar negara.

Mohd. Shafie berkata, pusat konvensyen itu yang kini 97 peratus siap juga bakal menjadi lokasi kepada mesyuarat tertentu sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

Katanya, SICC yang lengkap dengan ciri-ciri Sabahan merupakan antara yang terbesar di rantau ini dan mampu bersaing dengan pusat konvensyen lain seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) serta tempat-tempat persidangan di negara lain.

“Saya yakin satu dewan pusat konvensyen yang agak berlainan daripada mana-mana tempat pasal dia kalau kita lihat di Singapura, di Hongkong Thailand bahkan juga di Kuala Lumpur kita ada PWTC, PICC KLCC motifnya amat mudah tetapi di sini kita menggunakan pelbagai identiti tentang etnik yang ada, suku kaum yang ada di negeri Sabah dengan bukan hanya paparkan di lantai, dindingnya, juga di siling dia ada gambaran bahawa ini merupakan anda berada di Sabah.

“Anda tidak boleh mendapat tempat seperti ini di tepi pantai anda boleh melihat pemandangan cantik, anda boleh lihat Gunung Kinabalu dan hutan, maka ini sesuatu yang unik saya tidak fikir ada di Singapura atau tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar di SICC hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih sejam meninjau pembinaan SICC yang bernilai RM1 bilion itu. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.

Ketua Menteri berkata, SICC akan memberi limpahan ekonomi kepada industri perhotelan yang akan menempatkan peserta persidangan serta merancakkan sektor bekalan makanan dan penangkutan di Kota Kinabalu.

Mohd. Shafie berkata, SICC akan siap sepenuhnya awal Februari depan yang akan menyaksikan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan sebagai program pertama dianjurkan di situ kerana Sabah adalah tuan rumah.

“Kita tahu dengan adanya persidangan seumpama ini juga dia akan ada limpahan contoh bekalan makanan semua perkara pengangkutan yang ada dan ini merupakan satu langkah kita harap akan dapat menambah lagi salah satu usaha kit a untuk menarik para pelancong dan juga usahawan yang datang ke negeri Sabah.

“Di antara yang terdekat kita yakin bahawa musabaqah peringkat kebangsaan akan dianjurkan pada bulan depan dan kita selaku tuan rumah dan persidangan APEC yang berskala kecil kita akan adakan di sini dan juga kita akan anjurkan satu lagi persidangan Forum Islamik yang dianjurkan oleh Tun Musa Hitam, beliau telah berjumpa dengan saya di pejabat saya tahun lalu dan beliau juga ingin menganjurkan persidangan seumpama ini di tempat ini,” katanya.