Siasatan Terhadap Dive Master & Syarikat Pelancongan Akan Dilakukan

282
Christina, tengah, ketika Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Pelaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Siasatan akan dilakukan terhadap pemandu penyelam (Dive Master) dan pengusaha pelancongan yang didapati membawa pelancong tanpa menggunakan jaket kawalan pengapungan (BCD) dalam kejadian yang berlaku di Pulau Timba-Timba, Semporna baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk melihat sama ada tindakan itu dilakukan oleh pemandu penyelam itu sendirian atau turut membabitkan syarikat pelancongan berkenaan.

“Kita kena tahu apa sebenarnya yang berlaku terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika ditanya mengenai insiden pemandu penyelam yang tidak memakai BCD semasa membawa pelancong melakukan aktiviti selam Scuba di Pulau Timba-Timba, Semporna.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Pelaksanaan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di Sabah, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah bagi aktiviti selam Scuba dibawah ISO 21101-2014, Sistem Pengurusan Pelancongan Kembara.

Christina berkata, kementeriannya akan membantu MOTAC Sabah dalam penyediaan SOP berkenaan.

Ditanya bila dijangka SOP itu boleh dilaksanakan, beliau berharap pelaksanaannya dapat dilakukan secepat mungkin.

Bagaimanapun, kementerian itu perlu duduk berbincang bersama Motac Sabah terlebih dahulu bagi melihat bila SOP itu dapat dilaksanakan.

Pada Rabu, Christina dalam satu kenyataan menyatakan kawalan aktiviti selam Scuba tidak terletak dibawah bidang kuasa penguatkuasaan MOTAC Sabah. Bagaimanapun, kementeriannya bersama MOTAC Sabah akan menyediakan SOP bagi memantau dan mengawal aktiviti selam Scuba di Sabah.

Ini berikutan video dan gambar insiden yang ditularkan dimana pemandu penyelam membawa dua pelancong tanpa memakai BCD. Pemandu penyelam itu hanya berkongsi BCD dan regulator dengan pelancong yang sedang melakukan aktiviti selam Scuba.

BERITA BERKAITAN :-

Jurulatih Selaman Haram Pertaruh Nyawa Pelancong Di Semporna

Prosedur Tetap Selam Scuba Akan Diwujudkan – Christina