Siasatan TDM Rumuskan Kematian Mohd Zahir Akibat Kemalangan

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tentera Darat Malaysia (TDM) mendapati kematian Mejar Mohd. Zahir Armaya adalah disebabkan kemalangan dalam latihan dan diklasifikasikan sebagai kes terpencil.

Keputusan tersebut dibuat selepas lembaga siasatan pasukan keselamatan itu menjalankan siasatan penuh terhadap punca kematian Mohd. Zahir.

“Lembaga siasatan berkenaan telah dimuktamadkan dan keputusan lembaga siasatan mendapati insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan ianya merupakan kemalangan dalam latihan.

“Pihak ahli lembaga turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik,” kata TDM dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 4 September lalu, Mohd. Zahir meninggal dunia semasa melaksanakan latihan keupayaan TDM sempena Acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.

Allahyarham maut selepas ditembak dari arah belakang oleh rakan setugasnya dalam demonstrasi keselamatan di majlis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu yang terlibat, sementara prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini jika perlu.

Pada masa sama katanya, latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan yang sedia ada.

Sementara itu, TDM turut memaklumkan Allahyarham telah dinaikkan pangkat dan segala aspek kebajikan keluarganya akan dijaga dengan baik.

“Daripada aspek kebajikan terhadap Allahyarham dan keluarga, Mejar Mohd Zahir telah disokong untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17 September 2019, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

“TDM telah menghulurkan bantuan yang sewajarnya terhadap balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun serta ahli keluarganya sejak hari pertama insiden berkenaan berlaku.

“Beliau dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan yang telah ditetapkan di dalam perkhidmatan TDM,” kata TDM.

BERITA BERKAITAN :-

Elak Buat Spekulasi Insiden Pegawai Komando Tertembak Di Lok Kawi

Pegawai Tentera Maut Tertembak Semasa Demonstrasi