Siasatan SPRM: 2 Bekas Pegawai Shafie Dibebas Dengan Jaminan RM15K

2030
Izhar dan Zamri dibebaskan dari tahanan reman dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor/bharian.com.my

PUTRAJAYA: Dua setiausaha bekas menteri persekutuan Shafie Apdal yang direman bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan dana awam untuk projek pembangunan luarbandar di Sabah, dibebaskan Mahkamah Majistret di sini hari Selasa.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan kedua-dua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang berserta seorang penjamin, menurut laporan di bharian.com.

Izhar Idrus pernah bertugas sebagai setiausaha sulit dan Zamri Maulan, setiausaha akhbar ketika Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Mereka direman lima hari bermula 20 Oktober lalu untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.