Siasatan Punca Kebakaran Korbankan 7 Sekeluarga Masih Dijalankan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BEAUFORT: Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian kebakaran yang mengakibatkan tujuh sekeluarga termasuk bayi berusia 2 tahun rentung di Kampung Lampijas, Membakut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd. Razak berkata, maklumat awal mendapati semua mangsa ada warga asing iaitu suami Filipina dan isteri warga Indonesia dan kedua-duanya adalah petani.

“Butiran mangsa belum diperoleh berikutan keadaan suami mangsa, Romel Sharif, 34, yang mengalami cedera parah kini sedang dirawat di Hospital Beaufort,” katanya.

Dalam kejadian kebakaran 1.16 pagi tadi, tujuh beranak termasuk ibu dan bayi berusia 2 tahun rentung apabila rumah kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Tujuh mangsa rentung itu adalah Nadia,25 (isteri); Danial,7; Faisal,5; Nana, 14; Aisa,13; Shasha,10, dan Samasan, bayi lelaki berusia dua tahun.

Mangsa terselamat adalah suami mangsa, Romel, anak sulung mangsa Rezwan, 15, dan anak saudaranya Rizal.

Beliau berkata, rumah yang terbakar itu diduduki sebuah keluarga yang mempunyai 10 orang penghuni iaitu sepasang suami isteri dan tujuh orang anak serta seorang anak saudara.

Kesemua mangsa yang terselamat masih berada di Hospital Beaufort untuk rawatan selanjutnya. Siasatan lanjut masih diteruskan.