Siasat Salah Laku & Pecah Amanah Dalam Sabah FC

KOTA KINABALU: Kekerapan perpindahan dan pertukaran pemain import dalam Sabah FC perlu diberi perhatian untuk mengelakkan sebarang salah laku dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FC).

Terdapat sumber memaklumkan berlaku pecah amanah dalma pengurusan perpindahaan pemain import yang terlalu kerap kerana ada beberapa orang dalam pengurusan Sabah FC menjadikan pertukaran pemain sebagai ‘perniagaan’.

Mereka mengambil kesempatan meletakkan gaji yang tinggi bagi pertukaran pemain namun, sebahagiannya dipotong untuk kegunaan sendiri dengan kerjasama ejen.

Dipercayai terdapat tiga individu dalam pengurusan Sabah FC menaikkan gaji pemain untuk mereka mendapat keuntungan dengan mengambil sebahagian daripada gaji pemain tersebut. Ada pemain yang ditawarkan sehingga RM33, 000 namun, sejumlah RM18,000 dipotong pihak pengurusan untuk masuk poket sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, pemain akan terus ditindas dan individu dalam pengurusan Sabah FC akan terus mencipta ‘kekayaan’ dengan cara yang mudah.

Selain itu, pembelian kelengkapan di stadium juga perlu diberi perhatian apabila pembelian LED yang berharga RM300,000 boleh meningkat kepada RM800,000 apabila dibeli oleh Sabah FC.

Tuntutan-tuntutan lain seperti pembelian peralatan alat menyukat bacaan jantung juga dilihat tidak munasabah. Alat yang berharga RM300 boleh dibeli dengan harga RM130,000.

Perkara ini sudah berlanjutan sehingga ke hari ini namun, perbuatan salah laku dan pecah amanah dalam Sabah FC masih berterusan.

Diharap ada pihak yang tampil untuk merungkai segala permasalahan rasuah yang berlaku secara terbuka dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC.