Siasat Klip Rakaman Suara Tawar Jawatan GLC – Pemuda Amanah Nasional

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat klip rakaman suara yang menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap Ahli-ahli Parlimen.

Kertas siasatan perlu dibuka bagi menyiasat kesahihan kenyataan di dalam klip yang ditularkan menerusi laman media sosial sejak 30 Mei lalu.

Klip rakaman yang berdurasi 2 minit 45 saat itu didakwa mirip dengan suara Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipercayai menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Ahli Parlimen (MP) termasuk MP Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang memberikan sokongan terhadapnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketua Pemuda Amanah Nasional Sabah, Mohd Khairuddin Daud berkata, sekiranya klip rakaman suara itu sahih, SPRM harus bertindak menjalankan siasatan secara telus berhubung perbuatan salah laku yang dilakukan.

Beliau berkata, ketika tawaran jawatan menteri dan GLC itu dibuat, Muhyiddin, yang merupakan Presiden BERSATU adalah Menteri Dalam Negeri.

“Sekiranya benar, beliau menawarkan jawatan GLC dan menteri kepada ahli-ahli Parlimen BERSATU bagi meraih sokongan di parlimen, perbuatan itu bercanggah dengan Akta SPRM 2009.

“Atas sebab itulah, kami tampil membuat laporan SPRM hari ini bagi menggesa SPRM membuka kertas siasatan terhadap perbuatan kerajaan pintu belakang ini.

“Perbuatan ini umpama adegan dalam filem Tan Sri P.Ramlee bertajuk ‘Nujum Pak Belalang’ ketika perompak membahagikan harta rompakan ‘satu untuk engkau, satu untuk aku’. Namun dalam situasi ini, jawatan untuk engkau dan sokongan perlu diberikan untuk aku,” katanya kepada media semasa membuat laporan SPRM, di sini hari ini.

Menurutnya, tawaran jawatan dalam GLC itu terbukti berlaku pada masa kini dimana pelantikan beberapa Ahli Parlimen mula dilihat dalam GLC.

“Lantikan terbaharu adalah Pengerusi MISC, iaitu syarikat subsidiari Petronas. Jawatan pengerusi GLC ini juga turut berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen BERSATU di Sabah,” ujarnya.

Khairuddin berkata, jika dilihat BERSATU Sabah juga mengulangi tanda sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin baru-baru ini.

Ditanya jika laporan dibuat itu turut meminta siasatan terhadap Ahli Parlimen, beliau berkata, maklumat mengenai mereka yang dilantik dalam GLC akan disertakan sekiranya diperlukan oleh SPRM.

Katanya, mereka akan melihat maklum balas daripada SPRM terlebih dahulu.

Laporan SPRM itu adalah yang ketiga selepas Pemuda Amanah Nasional dan Pemuda PH membuat laporan yang sama di Putrajaya dan Kelantan semalam.

Klip rakaman suara yang dimuat naik dalam Page BERSATU TV itu dipercayai berlaku semasa mesyuarat atau perbincangan yang bertempat di Pejabat BERSATU pada 23 Februari lalu.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Setiausaha Pemuda PH Razeef Rakimin dan Exco Pemuda Amanah Nasional Sabah Abu Huzaifah Kamal.