Siapa Cakap Saya Bankrap – Calvin

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Calvin Chong tampil memberi penjelasan susulan paparan di Facebook sejak awal bulan ini yang mendakwa beliau diisytihar muflis.

Calvin yang turut ditemani peguam, Rowena Rasid dalam sidang media di sini, hari ini menjelaskan rakyat perlu mengetahui kebenaran kerana beliau berhasrat untuk bertanding semula di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) jika diberi peluang oleh parti.

Beliau berkata, paparan terbabit yang dibuat pada 2 Ogos atas nama pemilik akaun palsu, Awang Hadi dan turut dikongsikan 94 pengguna lain sekali gus menjatuhkan nama baik dan reputasi beliau.

Katanya, pemimpin DAP di ibu pejabat parti juga mengetahui perkara itu dan meminta beliau untuk mendapatkan nasihat peguam dan menjelaskan tuduhan itu.

“Individu ini menggunakan akaun palsu. Jika tuduhan ini betul, sudah tentu individu ini akan gunakan akaun yang betul.

“Saya sudah membuat laporan polis untuk meminta ‘posting’ ini dipadam. Jika berlanjutan, saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu itu,” katanya.

Calvin berkata, beliau juga sudah meletak semua jawatan dalam syarikat swasta dan perniagaan dan berharap orang ramai tidak tertipu dengan dakwaan palsu itu.

Katanya, beliau juga sudah bersedia untuk bertanding di kerusi DUN Elopura pada PRN, namun menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Rowena berkata, notis muflis yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat swasta itu sudah diselesaikan oleh kedua belah pihak dan mahkamah sudah bersetuju untuk menarik balik notis itu pada 22 Jun tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, individu yang menggunakan akaun bernama Awang Hadi membuat dakwaan Calvin diisytihar muflis.

“Ini jelas tidak benar dan dilihat sebagai taktik oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan reputasi beliau,” katanya.