Siambun: Parti Warisan Mahu Ketuai Kerjasama Dengan PH Di Sabah?

1787
Terrence Siambun mengetuai tinjauan mesra Parti Warisan Sabah di Tamu Dogonggon, Penampang di sini, Khamis.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jelas Bendahari Agungnya, Terrence Siambun, biarpun tiada perjanjian lisan membabitkan parti itu dan pakatan pembangkang di Semenanjung, namun mereka komited untuk menjadi tulang belakang PH di Sabah.

Beliau menegaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan PH walaupun tiada perjanjian untuk menyokong gabungan pembangkang itu.

“Saya tidak melihat kami ada isu berhubung perkara itu. Seperti yang presiden parti nyatakan kita bersama-sama terlibat dalam perjuangan di Sabah.

“Kita juga sentiasa menekankan kepada rakyat bahawa kita menyokong PH di Malaysia dan di Sabah kita akan memainkan peranan sebagai tulang belakang,” katanya ketika membuat tinjauan mesra Parti Warisan Sabah di Tamu Dogonggon, Penampang di sini, Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata, Warisan tidak mempunyai masalah untuk berganding bahu dengan PH dan menolak spekulasi bahawa parti itu enggan bekerjasama dengan PH.

Sementara itu, Terrence turut mempersoalkan kesediaan Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) untuk memberi peluang kepada muka baru untuk menerajui parti tersebut.

“Mereka asyik menghantar muka yang sama setiap tahun. Mereka harus memberi peluang kepada muka baru dan juga generasi baru. Jadi saya rasa itu lebih bagus dan menggalakkan,” katanya. – Ruzaini Zulkepli/Astro Awani

BACA LAGI DISINI: –

http://www.astroawani.com/berita-politik/warisan-mahu-ketuai-kerjasama-dengan-ph-di-sabah-167703