Shitembi ‘Dancing Shoes’ Namibia Isi Jentera Tengah Skuad Tambadau

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Skuad Tambadau berjaya mengikat kontrak bersama Kapten Namibia, Petrus Shitembi untuk mengharungi Liga Super yang bakal bermula pada 1 Mac depan.

Shitembi yang mendapat jolokan ‘dancing shoes’ kerana kelicikan dan kelincahannya menggelecek di tengah padang melengkapkan kesebelasan utama Skuad Tambadau yang mensasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony berkata, Shitembi mengikat kontrak selama setahun dan diharap dengan kehadirannya, Skuad Tambadau akan dapat mempamerkan aksi terbaik musim ini.

“Beliau adalah merupakan pemain dari Osaka Dynamos FC, Namibia dan kita telah putuskan untuk menyerapkan beliau di dalam pasukan kita untuk beraksi di bahagian tengah kerana kita tahu di peringkat bahagian tengah ketika ini belum ada tempat yang diisi, ini bermakna bahawa kesebelasan utama pasukan Tambadau telah kita isi sepenuhnya.

“Kita akan meneruskan atau pun memulakan saingan Liga Super pada 1 Mac menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Safa hari ini.

Shitembi merupakan pemain antarabangsa yang berpengalaman dan memegang 65 cap bersama pasukan Namibia.

Dalam sidang akhbar itu, Peter turut menyeru para penyokong pasukan bola sepak Sabah agar memenuhkan Stadium Likas setiap kali perlawanan untuk menaikkan semangat pasukan.

Beliau berkata, pasukan Sabah serta jersi baharu juga akan diperkenalkan secara rasmi kepada peminat secara rasmi pada 27 Februari depan.

“Bagi pihak Safa dan kerajaan negeri saya merayu kepada semua penyokong di Sabah ini adalah julung kali kita bermain di persada Liga Super sudah tentu apa yang kami perlukan di peringkat pasukan adalah sokongan moral daripada semua peminat bola sepak yang berada di Kota Kinabalu atau seluruh Sabah.

“Kita juga akan memberikan yang terbaik sekurang-kurangnya kualiti dan sebagainya yang sudah tentu harapan di peringkat kita juga amat tinggi iaitu memfokuskan agar pasukan ini bukan sahaja bermain di Liga Super tahun ini tetapi kita mensasarkan agar satu piala itu akan dibawa balik ke negeri Sabah untuk semua peminat rakyat negeri Sabah,” katanya.

Dalam sidang akhabr itu, beliau turut mengumumkan Datuk Juil Nuatim sebagai pengurus Skuad Piala Presiden dibantu jurulatih Justin Ganai dan Datuk Abdul Rahman Zakaria sebagai pengurus skuad belia negeri.