Sheldon & Allyssa Juara Pertandingan Sugandoi Online 2020

Sheldon Elev.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tampil dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Hominodun, Sheldon Elev muncul sebagai juara Pertandingan Sugandoi Kaamatan Online 2020, peringkat negeri Sabah yang diadakan secara online buat julung-julung kalinya, semalam.

Pertandingan Sugandoi atau nyanyian lagu tradisi Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) sempena Pesta Kaamatan itu tidak dapat diadakan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa.

Atas sebab itu, jawatankuasa penganjur mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan tersebut secara online buat kali pertama.

Sheldon,29, berkata, setelah tujuh kali melakukan percubaan menyertai pertandingan sugandoi di peringkat daerah dan juga peringkat negeri, akhirnya bakat nyanyiannya berjaya menambat hati juri dan dinobatkan sebagai juara bagi mengalahkan sembilan peserta akhir yang lain.

Sheldon bersama peserta lain ketika menyertai Pertandingan Sugandoi Kaamatan peringkat daerah Putatan.

Katanya, tahun lalu beliau hanya berjaya sampai ke peringkat separuh akhir dalam Pertandingan Sugandoi peringkat negeri.

Anak muda yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Persembahan (Muzik) ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 6,000 beserta piala dan sijil.

Sheldon yang berasal dari Tambunan ini menyampaikan dua buah lagu iaitu Hominodun ciptaannya sendiri dan Amu kito noh miuhang oleh Usal Jon.

“Saya gembira dan bangga kerana berjaya menjuarai Sugandoi. Saya gembira kerana dapat menghiburkan semua orang yang meraikan Kamaatan di rumah pada tahun ini.

Sheldon semasa menjuarai Pertandingan Sugandoi Kaamatan Putatan 2019.

“Saya juga bangga kerana dapat meneruskan semangat Kaamatan yang merupakan perayaan tradisi suku kaum KDMR biarpun hanya menggunakan platform online.

“Biarpun sambutan ini secara online namun sambutan yang diberikan masyarakat Sabah begitu baik,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut bersedih kerana tidak dapat berinteraksi secara bersemuka dengan perserta-peserta lain dan juga pihak penganjur.

Pertandingan Sugandoi Kaamatan Online peringkat negeri Sabah ini menerima 565 penyertaan bagi kedua-dua kategori iaitu kategori remaja (dazanak) dan terbuka.

Gretchene Quirina

Sementara itu, di tempat kedua pula dimenangi oleh Gretchene Quirina Salipa (Kota Kinabalu) dan tempat ketiga dimenangi oleh Donovond Andreey Damianus (Tambunan) yang turut memenangni Anugerah Persembahan Terbaik.

Pemenang tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000 beserta piala dan sijil. Untuk penerima Anugerah Persembahan Terbaik menerima hadiah wang tunai RM300 dan sijil. Manakala, tujuh pemenang Bintang Harapan (saguhati) menerima hadiah wang tunai RM600.

Untuk Pertandingan Sugandoi Dazanak (Remaja) Online 2020, juara adalah milik Allyssa Conrod Mool (Tambunan) yang turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik. Tempat kedua pula dimenangi oleh Daryl Damian (Kota Kinabalu) dan tempat ketiga milik Arabella Cathlyne Oliver (Tambunan).

Donovond Andreey.

Hadiah tempat pertama adalah wang tunai bernilai RM 6,000, tempat kedua RM4,000 dan tempat ketiga RM2,000. Kesemua pemenang turut menerima trofi dan sijil penyertaan.

Untuk Anugerah Persembahan Terbaik pula memenangi hadiah wang tunai RM300 dan empat penerima Bintang Harapan (saguhati) menerima wang tunai RM600.