SHAREDA Sahut Saranan Laksana Projek Hartanah Baharu Di Sabah

198
Chew (tiga kanan) bersama Pengerusi Penganjur Shareda Night 2019 Roy Chiew (dua kiri) serta ahli jawatankuasa Shareda yang lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) memberi jaminan untuk bekerjasama dan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi Sabah.

Presiden Shareda Chew Sang Hai berkata, ahli-ahli Shareda juga menyahut saranan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal agar pemaju melaksana lebih banyak projek hartanah di Sabah dalam keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar.

Beliau berkata, Shareda sudah berjumpa dan berbincang dengan ahli-ahlinya agar bekerjasama dengan Kerajaan Sabah untuk melaksana serta membawa masuk lebih banyak projek hartanah.

”Sebagai Presiden saya gembira melihat respon positif ahli-ahli yang menyahut saranan untuk melabur dan melancarkan projek baharu di Sabah agar dapat membangunkan ekonomi disamping, membuka peluang pekerjaan untuk anak Sabah.

”Untuk itu, kita akan memberi penghargaan istimewa kepada lima pemaju yang terpilih kerana sudi memberi sokongan kepada Kerajaan Sabah,” katanya ketika Sidang Media sempena Shareda Night 2019, di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai sasaran jualan sektor hartanah di Sabah, Chew berkata, sasaran yang ditetapkan pada masa ini adalah RM600juta dan sekarang jualan yang diperolehi hampir RM500 juta.

Menurutnya, walau berdepan dengan ekonomi yang mencabar, jualan di Pantai Timur Sabah memperlihatkan pencapaian yang agak baik berbanding tahun sebelumnya.

”Pantai Timur iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Tawau pada tahun ini menyumbang 30 peratus daripada hasil jualan yang diperolehi dalam sektor hartanah. Ini petanda yang baik.

”Tahun ini sektor hartanah akan memperlihatkan pertumbuhan yang baik kerana banyak pemerhati mula tampil ke depan untuk mengambil bahagian dalam pembangunan industri hartanah,” jelasnya.

Mengulas mengenia Shareda Night yang akan dijangka akan dihadiri 1,000 orang ahli itu akan diadakan pada 20 September.

Chew berkata, Shareda juga memainkan peranan membawa masuk lebih banyak jenama antarabangsa untuk melabur di Sabah.

Usaha menjalin intergrasi dengan jenama antarabangsa ini akan membolehkan kualiti hidup rakyat tempatan di pertingkatkan.