Shahidan Lancar Kempen Tanam Sejuta Pokok di Labuan

LABUAN: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim hari ni menanam pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) di Pantai Nagalang sebagai simbol pelancaran  ‘Kempen Tanam Sejuta Pokok 2021-2025’ di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata menerusi program berkenaan yang bertemakan ‘Menghijaukan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ ia berdasarkan konsep hutan bandar dan pembungaan bandar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan menanam 500,000 pokok, Perbadanan Putrajaya 400,000 pokok dan Perbadanan Labuan 100,000 pokok.

Shahidan berkata Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan peruntukan RM250,000 di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) untuk inisiatif memajukan hutan bakau dan kehidupan marin kawasan hutan bakau di Labuan.

Bagi peringkat awal pelaksanaan inisiatif itu di Labuan, ia akan memfokuskan penanaman 9,250 pokok bakau di enam lokasi iaitu Pantai Nelayan Kg Tanjung Aru; Pantai Kg Tanjung Aru/Kerupang; Pusat Ekopelancongan Paya Bakau Kinabenuwa; Sungai Kg Gersik; muara sungai di Kg Ganggarak dan Taman Botani Labuan.

“Hari ini 100 pokok bakau akan ditanam di Pantai Nagalang/Kerupang dan akan direkodkan dalam pelaksanaan menghijaukan Malaysia…antara spesies pokok termasuk Bakau Kurap, Bakau Minyak, Bakau Putih dan Api-Api Hitam,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Tanam Sejuta Pokok 2021-2025 di Pantai Nagalang di sini hari ini.

Shahidan berkata tujuan menanam pokok bakau di tebing sungai, muara dan di sepanjang pesisir pantai adalah untuk mengurangkan risiko hakisan.

“Sebanyak 5,000 pokok bakau akan ditanam di sepanjang pantai Kg Tanjung Aru, Nagalang, Kerupang tahun ini untuk mengurangkan risiko hakisan pantai.

“Kami sedar pantai di Labuan semakin terhakis, oleh itu dengan menanam banyak pokok bakau di sepanjang pantai, risiko hakisan pantai dapat dikurangkan,” katanya.

Menurut Shahidan pokok bakau juga menyediakan habitat dan makanan kepada hidupan air seperti ikan, udang dan ketam di sungai serta berhampiran pantai dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan tangkapan nelayan di pulau berkenaan.