Shafie Yakin Tambahan 13 Kerusi DUN Dapat Sokongan Di Parlimen

170

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri yakin tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sabah yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 17 Julai ini akan mendapat sokongan.

Beliau berkata, usul ini tidak memerlukan majoriti penuh sebaliknya, ia hanya memerlukan majoriti mudah.

Katanya, beliau tidak melihat sebarang alasan untuk pemimpin Sabah tidak menyokong usul tambahan 13 kerusi DUN baharu itu.

Beliau berkata, kerusi tambahan itu sudah dibentangkan di DUN Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan telah diluluskan setelah mendapat sokongan 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Tiada sebab kita tidak beri sokongan sebab ianya bolehkan kita menambah sedikit perwakilan di peringkat negeri.

“Usul ini hanya perlu mendapat majoriti mudah dan tidak perlu majoriti penuh kerana ia tidak membabitkan pindaan kawasan kerusi Parlimen.

“Ia hanya membabitkan kerusi DUN. Apa yang penting adalah kelulusan DUN namun, ia tidak boleh dilaksana hingga ianya diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai tambahan 13 kerusi DUN Sabah yang baharu, di sini pada Khamis.

Beliau, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan & Pameran Minyak dan Gas Sabah ketujuh, di sini pada Khamis.

Menurutnya, beliau sendiri akan menghadiri sidang Dewan Rakyat itu selaku Ahli Parlimen Semporna bagi membahaskan sebab mengapa tambahan kerusi itu diperlukan.

“Buat masa ini saya tidak mahu menyatakan point pada hari ini, kena tunggu sidang Dewan Rakyat,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong menyatakan dokumen berkaitan tambahan 13 kerusi itu telah diagihkan kepada semua Ahli Parlimen untuk dibaca sebelum ianya dibahaskan pada minggu depan.

Katanya, draf itu sudah tersedia sejak Ogos 2016 namun tidak pernah dibentang dibawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini.

Tambahan 13 kerusi baharu ini akan membolehkan kerusi DUN Sabah bertambah dari 60 kerusi kepada 73 kerusi.

BERITA BERKAITAN: –

Tambahan 13 Kerusi DUN Sabah Dibentang Rabu Depan

RUU Tambah 13 Kerusi DUN Sabah Dibentang Minggu Depan?