Shafie Yakin Pas Sementara Sabah Bantu Pantau Warga Asing Di Sabah

137

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal melihat pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan langkah tepat yang membolehkan kerajaan memantau warga asing di Sabah dengan lebih dekat.

Beliau berkata, pengeluaran PSS ini adalah langkah pertama yang diambil selepas bertahun-tahun lamanya isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian.

”Isu ini sudah tertunda agak lama sehingga Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) dibentuk namun, tiada apa-apa dilakukan.

”Sekurang-kurangnya ini kali pertama selepas bertahun-tahun kita cuba melihat bagaimana mahu menyelesaikan isu ini dengan baik.

”Kita akan melihat bagaimana mekanisme yang boleh menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang boleh dipalsukan dan sukar untuk ianya dipantau,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pengeluaran PSS yang mendapat kritikan sesetengah pihak.

Menurutnya, beliau akan memastikan perkara (pemalsuan) tidak dapat dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana pemberian PSS ini hanya bersifat sementara dan bukannya tetap.

Mohd Shafie berkata, dengan adanya PSS itu, ia akan memudahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan mengenai keberadaan dan pergerakan warga asing di Sabah.

Beliau berkata, pengeluaran PSS itu akan membolehkan jumlah sebenar keperluan tenaga buruh asing di ladang-ladang di Sabah dapat diketahui.

Katanya, dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, beliau khuatir tenaga buruh Indonesia yang berada di Sabah akan pulang ke negara asal mereka.

”Jika mereka pulang, kita tidak akan mempunyai tenaga buruh yang mencukupi dan industri perladangan akan terjejas teruk.

”Atas sebab itu, kita kena menguruskan tenaga buruh asing yang ada di Sabah. Tanpa adanya pekerja asing, saya tidak rasa ladang kita boleh membangun dengan baik. Untuk itu, kita perlu mengawal selia mereka agar jumlah yang diperlukan sahaja berada di ladang-ladang. Selebihnya, kita akan pantau dimana mereka berada,” katanya.

Mohd Shafie berkata, pengeluaran pas itu akan dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Sabah.

Namun, Kerajaan Sabah akan turut sama memantau pengeluaran pas berkenaan agar ia dikendalikan dengan baik tanpa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Beliau berkata, adalah lebih baik untuk koordinasikan warga asing yang ada di Sabah ini bagi memudahkan keberadaan mereka diketahui berbanding tidak tahu dimana mereka berada. Setakat ini terdapat hampir 600,000 pemegang kad IMM13, Kad Burung Burung dan Sijil Banci yang direkodkan di Sabah.

Dalam pada itu, beliau juga mahu agar perbincangan antara Kerajaan dengan Kerajaan, iaitu Malaysia dan Filipina dilakukan bagi memastikan warga Filipina yang telah dihantar pulang ke negara asal mereka supaya menggunakan pasport apabila mereka hendak datang semula ke Sabah.

Pengeluaran PSS yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada Jumaat lalu akan mula dikeluarkan pada 1 Jun 2020.

BERITA BERKAITAN : –

Pas Sementara Sabah, Bukti Kerajaan Serius Tangani PTI Di Negeri Ini – Shafie

PSS Diperkenal Ganti IMM13, Burung-Burung Dan Sijil Bancian