Shafie: Warisan Telupid, Kuamut, Labuk Perlu Berpadu Sokong UPKO

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
BELURAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyeru semua ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) memberikan undi kepada UPKO di kerusi Telupid, Labuk dan Kuamut yang diwakili calon parti itu.

Katanya, kemenangan kepada UPKO adalah kejayaan bersama Warisan Plus untuk terus memerintah negeri ini dan menolak sepenuhnya parti-parti Semenanjung.

“Dua hari saya minta semua jentera masuk ke kampung-kampung masuk ke rumah-rumah merayu pastikan undi calon UPKO. Jangan tengok nombornya tengok lambangnya.

“Jangan kamu tidak undi kita sepakat kita pastikan dalam perjuangan ini kena ada keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk DUN Labuk di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 100 ahli UMNO turut menyerahkan borang menyertai Warisan yang diketuai bekas Ketua Daerah Beluran, Abdul Rasid Dundulang.

Mohd. Shafie berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid, Labuk dan Kuamut diberikan kepada UPKO hasil rundingan antara pemimpin demi memastikan kemenangan bersama Warisan Plus.

Katanya, ketiga-tiga DUN berkenaan perlukan pembangunan selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) dan PBS selama ini.

“Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian undilah calon UPKO kita, Warisan kena undi dia, kalau UPKO sanggup undi calon Warisan di Sandakan masakan kita di Labuk orang Warisan tidak boleh undi calon UPKO, kerjasama antara satu dengan lain jangan putus,” tegas beliau.

Tambahnya, kemenangan mutlak Warisan Plus dan UPKO juga perlu untuk mengajar pemimpin-pemimpin sebelum ini yang melompat dan mengkhianati mandat diberikan rakyat.

“Kali ini kita pastikan budaya lompat-melompat di negara Malaysia kita tolak habis-habisan pilihan raya ini, bukan hanya di negeri Sabah sampai ke Semenanjung.

“Jadi saya harap sungguh pastikan kita turun beramai-ramai undi calon UPKO. Kita kena menang di Telupid, Labuk, Kuamut dan Sugut,” katanya.